suria

Anak cari duit bantu Norish Karman dan keluarga, tak pernah minta beli baju mahal

Norish bersyukur anaknya menjalankan tanggungjawab bantu keluarga.

KESUSAHAN hidup keluarga membuatkan anak perempuan kepada pelakon Norish Karman iaitu Nur Hanyz Amanda mencari inisiatif dengan bekerja bagi membantu ibunya itu.

Kata Manda, 22, dia ada menerima tawaran berlakon bersama ibu dan hasil pendapatan tersebut digunakan sepenuhnya untuk membayar sewa rumah selain bil utiliti.

"Dalam drama terakhir bunda (Norish), saya ada dapat watak kecil. Gaji itu masuk, terus keluar semula untuk bayar sewa rumah dan bil elektrik. Saya dapat RM2,000 untuk tempoh tiga bulan bekerja," katanya.

Aliff menyerahkan bantuan wang tunai kepada Norish. 

Sebelum itu, Manda bersama Norish tampil dalam sesi siaran langsung jualan produk milik usahawan Aliff Syukri yang merupakan satu inisiatif membantu meringankan beban mereka.

Ketika berkongsi tentang keperibadian anaknya, Norish menyifatkan Manda sebagai seorang yang cukup bertanggungjawab dalam menguruskan keluarga.

Malah, Manda juga sanggup melupakan keseronokan dunia remaja bagi memberi fokus melakukan kerja rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak kongsi keadaan terkini Norish Karman, cerita sakit bukan ‘scam’ - “Saya tak sanggup hilang ibu!” 

ARTIKEL BERKAITAN: Norish Karman berdepan penyakit kritikal, rayu sumbangan untuk rawatan segera

"Manda ini anak yang baik. Dia tak pernah keluar berjalan dengan kawan-kawan, nak tengok wayang atau sebagainya.

"Dia tak pernah minta dibelikan baju yang mahal. Dia keluar dengan saya dan adik-adik sahaja. Dia selalu bersama saya," kongsi aktres berkenaan.

Norish memerlukan dana bagi menampung kos rawatan. 

Dalam sesi siaran langsung itu, Aliff Syukri berjaya mengumpul wang berjumlah RM15,000 dan diserahkan kepada Norish.

Sebelum ini, kisah Norish yang berdepan masalah kesihatan mendapat perhatian ramai selepas Manda sendiri berkongsi perkara tersebut di media sosial bagi meminta dana untuk menampung kos rawatan ibunya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain