suria

Paling tinggi! Jangkitan Covid-19 catat 869 kes baharu, 4 lagi korban di Sabah... 91 di ICU

Malaysia merekodkan jumlah kes tertinggi pada Sabtu iaitu 869 kes. Foto: Bernama

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 869 kes baharu, menjadikan keseluruhan 19,627 kes setakat Sabtu.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 6,886 di mana pesakit sudah diasingkan dan diberi rawatan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kesemua kes yang dilaporkan pada hari ini merupakan kes penularan tempatan yang melibatkan 745 warganegara dan 124 rakyat asing.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 629 kes positif pada Jumaat, 6 kematian akibat Covid-19

Sabah pada hari ini mencatat 451 kes, rekod tertinggi antara negeri diikuti Pulau Pinang (189), Selangor (159) kes, Kedah (38), Kuala Lumpur (15), Sarawak (4), Perak (4), Terengganu (3), Johor (2), Putrajaya (2), Negeri Sembilan (1) dan Melaka (1).

Tambah Dr Noor Hisham, empat kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 180 kes.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19 hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 180 kes," ujarnya menerusi kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Sabtu petang.

Dalam pada itu, 302 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 12,561 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, 91 kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 30 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, KKM memaklumkan terdapat lima kluster baharu hari ini iaitu Kluster Teduh (Sabah), Kluster Menara, Kluster Keladi(Selangor), Kluster Sentral (Kuala Lumpur) dan Kluster Bah Bemban (Terengganu, Sabah).

Berikut perincian kes kematian pada Sabtu:

1) Kematian ke-177 melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 78 tahun dengan latar belakang penyakit darah tinggi dan buah pinggang pinggang kronik. Pesakit meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth.

2) Kematian ke-178 melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 88 tahun dengan latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis, dislipidemia dan strok. Pesakit meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth.

3) Kematian ke-179 melibatkan wanita warganegara Malaysia berumur 71 tahun. Pesakit meninggal dunia di Hospital Tawau.

4) Kematian ke-180 melibatkan lelaki bukan warganegara Malaysia berumur 53 tahun. Pesakit meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain