suria

Malaysia catat 629 kes positif pada Jumaat, 6 kematian akibat Covid-19

Malaysia catat 629 kes pada Jumaat.

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 629 kes baharu, menjadikan keseluruhan 18,758 kes setakat Jumaat.

Daripada 629 kes baharu yang telah dilaporkan, 627 merupakan penularan tempatan dan dua lagi merupakan kes import jangkitan luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita usia 100 tahun antara 3 korban Covid-19 di Sabah, 589 kes baharu direkodkan

Sabah pada hari ini mencatat 489 kes, rekod tertinggi antara negeri diikuti Selangor (50), Pulau Pinang (33), Labuan (19), Kuala Lumpur (10) dan Perak (9).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, enam kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 176 kematian.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan enam kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 176 kes," ujarnya menerusi kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jumaat petang.

Sehingga hari ini, 245 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 12,259 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, 99 kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 31 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, KKM memaklumkan terdapat tiga kluster baharu hari ini iaitu Kluster Buntar (Kedah, Perak, Putrajaya), Kluster Merbok (Selangor) dan Kluster Lekir (Perak).

Mengenai kematian baharu, beliau berkata lima kes direkodkan di Sabah yang melibatkan rakyat Malaysia dan seorang warga asing di Kuala Lumpur.

Dr Noor Hisham berkata di Sabah, kematian ke-171 merupakan seorang lelaki berusia 66 tahun di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dengan latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan strok; kematian ke-172 juga lelaki berumur 72 tahun di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dengan penyakit jantung dan kematian ke-173 lelaki berumur 39 tahun di Hospital Semporna yang menghidap penyakit strok.

Kematian ke-174 dan ke-175 masing-masing di Hospital Queen Elizabeth, melibatkan wanita berumur 74 tahun dengan penyakit darah tinggi, kencing manis serta buah pinggang dan lelaki berumur 67 tahun dengan penyakit darah tinggi, jantung dan strok.

“Di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur iaitu kematian ke-176 melibatkan lelaki warga asing berusia 52 (tahun) dengan latar belakang penyakit kencing manis, jantung, psoriasis (penyakit kulit) dan tulang belakang, ” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain