suria

Paip pecah, rakyat Selangor berhadapan gangguan bekalan air di 59 kawasan

Kerja pembaikan paip pecah itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor dalam Facebook, Twitter dan Instagram.

TATKALA Perintah Kawalan Pergerakan BErsyarat (PKPB) masih berjalan di Selangor, rakyat negeri itu turut diuji dengan masalah gangguan air.

Terbaharu, bekalan air di 59 kawasan di Wilayah Klang/Shah Alam dan Kuala Langat mengalami gangguan susulan kejadian paip pecah berikutan tambakan tanah di atas paip oleh pihak ketiga hingga menyebabkan tekanan berlebihan pada paip di kawasan pembinaan Worldwide Seksyen U11, Shah Alam.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) Elina Baseri berkata antara kawasan yang terlibat adalah Ambang Botanik, Bandar Bestari dan Glenmarie Cove di Wilayah Klang/Shah Alam, manakala di Wilayah Kuala Langat ialah Jalan Sijangkang Utama, Eco Santuary dan Tropicana Aman.

“Bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki akan digerakkan ke kawasan terlibat bagi membantu pengguna yang terjejas, ” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Elina berkata maklumat perkembangan kerja-kerja pembaikan paip pecah itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor dalam Facebook, Twitter dan Instagram, serta aplikasi telefon pintar Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain