Covid-19: UM perjelas isu arah sukarelawan kendali pendaftaran pelajar China - Semasa | mStar

Covid-19: UM perjelas isu arah sukarelawan kendali pendaftaran pelajar China

UM menjelaskan dakwaan yang tular di media sosial.

UNIVERSITI Malaya (UM) tampil menafikan dakwaan pihaknya mengarahkan sekumpulan sukarelawan dalam kalangan penuntut mereka untuk mengendalikan program mobiliti membabitkan pelajar yang berasal atau baru pulang dari China seperti mana tersebar di media sosial.

Universiti itu dalam satu kenyataan media pada Ahad berkata, keseluruhan proses pemeriksaan kesihatan dilakukan sepenuhnya oleh pasukan perubatan di bawah Klinik Kesihatan Pelajar yang terdiri daripada pegawai perubatan dan ahli paramedik.

Namun Prosedur Pengawasan Terpusat itu dijalankan di Kolej Kediaman ke-10 (KK10)  berdasarkan protokol yang dirangka selari dengan ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Berikut adalah kenyataan UM berkaitan perkara itu:

Laporan beberapa media yang dikeluarkan semalam dan hari ini serta beberapa‘posting’ yang tular di media sosial berkaitan perkara di atas adalah dirujuk.

UM ingin menegaskan bahawa sejak virus Covid-19 mula merebak, pihak universiti sentiasa memantau keadaan dan situasi serta berhubung rapat dengan KKM dan Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan nasihat mereka dalam menguruskan situasi ini.

Wabak Covid-19 sudah meragut lebih 1,000 nyawa di China.

Antara langkah-langkah keselamatan dan pencegahan penting yang telah diambil UM adalah mewajibkan prosedur Pengawasan Terpusat (Centralised Surveillance) selama 14 hari untuk semua pelajar baharu, sedia ada dan juga pelajar program mobiliti yang berasal dan/atau baru pulang dari negara China.

Pelajar terbabit akan melalui proses saringan kesihatan dan pemantauan harian oleh pasukan perubatan UMyang telah ditempatkan di lokasi yang sama.

Prosedur Pengawasan Terpusat yang dijalankan di Kolej Kediaman ke-10 (KK10) ini adalah berdasarkan protokol yang dirangka selari dengan ketetapan KKM. 

Tujuan prosedur ini diwajibkan adalah bagi memudahkan pelajar terbabit melakukan proses pengawasan tersebut dan sekiranya ada pelajar terbabit yang mengalami sebarang simptom dan tanda, mereka akan dapat diuruskan dengan protokol yang sewajarnya dengan kadar segera, bersama bantuan dari Pusat Perubatan UM. 

Ia juga bertujuan bagi mengelakkan pelajar terbabit daripada berada berhampiran dengan warga kampus lain sepanjang mereka berada dalam tempoh pengawasan tersebut. Ini akan mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain terutamanya kepada lebih 30,000 warga kampus yang ada.

Ingin ditegaskan pelajar yang diwajibkan melalui prosedur ini adalah individu sihat yang tidak menunjukkan sebarang simptom dan tanda tetapi perlu melakukan pengawasan kesihatan sendiri untuk tempoh 14 hari dari tarikh kepulangan mereka.

Justeru, tiada keperluan untuk mereka dikuarantin dan mereka wajar dibenarkan untuk melakukan sebarang aktiviti di dalam kawasan KK10 secara bersama, selagi mereka tidak menunjukkan sebarang simptom dan tanda.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan tidak menerima makluman mengenai dakwaan tersebut.

Keseluruhan proses pemeriksaan kesihatan dilakukan sepenuhnya oleh pasukan perubatan UM di bawah Klinik Kesihatan Pelajar yang terdiri daripada pegawai perubatan dan ahli paramedik.

Bagi melancarkan proses-proses lain yang berkaitan, mereka dibantu oleh kakitangan dari pelbagai Jabatan lain antaranya Bahagian Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan sebagainya.

Pada masa yang sama, terdapat sekumpulan 14 sukarelawan pelajar yang pada asalnya berada di KK10 bagi memberikan perkhidmatan sukarela mereka bagi program yang berbeza.

Namun apabila UM mengambil keputusan untuk melaksanakan prosedur Pengawasan Terpusat ini, mereka secara sukarela menawarkan diri untuk membantu atas dasar kemanusiaan.

Sukarelawan pelajar ini telah diberikan tugas untuk membantu urusan pendaftaran dan periksa masuk iaitu penyerahan kunci bilik kepada pelajar yang akan melalui prosedur Pengawasan Terpusat tersebut.

Namun sukarelawan ini pada masa yang sama proaktif dan sangat membantu dalam memberikan idea dan cadangan bagaimana proses terbabit ini dapat ditambahbaik dan diperkemas.

Mereka juga telah, dengan sukarela, membantu dalam perlaksanaan idea dan cadangan yang mereka kemukakan.

Orang ramai memakai topeng untuk mengelak risiko jangkitan.

Perlu ditegaskan bahawa mereka tidak pernah diarah melaksanakan sebarang bentuk proses pemeriksaan kesihatan.

Penglibatan dan peranan yang dimainkan oleh sukarelawan juga telah diambilalih secara beransur-ansur oleh kakitangan UM bagi memberikan mereka ruang persedian sebelum kuliah bermula dan sebagai langkah pengawalan risiko.

Kesemua petugas dan sukarelawan telah diberikan taklimat berhubung tatacara pencegahan dan kawalan jangkitan dan dibekalkan dengan topeng muka dan bahan pembersih tangan (hand sanitizer).

Pihak UM juga memastikan bahawa kawasan bekerja petugas dan sukarelawan adalah bersih dan terkawal.

Mereka telah turut diberikan taklimat berhubung Covid-19 oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, Pusat Kesihatan Daerah Petaling Jaya.

Memandangkan prosedur Pengawasan Terpusat ini dijalankan di dalam kawasan kampus, UM komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga kampus yang lain tidak akan terkompromi oleh perlaksanaan prosedur ini.

Universiti juga akan memperkemas dan menambahbaik protokol berhubung perkara ini setiap kali perlu.

Pihak UM juga telah mengambil inisitiaf untuk sentiasa berkomunikasi dengan seluruh warga kampus bagi memaklumkan perkembangan terkini pendekatan pengurusan penularan wabak Covid-19 yang diambil oleh UM.

Setakat ini, 18 komunikasi emel telah dikeluarkan oleh universiti, kepada warga kampus bagi tujuan tersebut.

UM ingin menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga kampus, baik para pelajar mahupun kakitangan sentiasa menjadi keutamaan penting.

Universiti Malaya , Covid-19 , sukarelawan

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain