suria

'Rumah Panggung' menggamit memori silam, peluang kenali seni bina dan tradisi Melayu

Replika rumah tradisional masyarakat Melayu tumpuan pada acara Festival Light and Motion Putrajaya 2019 (Lampu 2019).

PENGUNJUNG Festival Light and Motion Putrajaya 2019 (Lampu 2019) terpesona dengan keindahan replika rumah Melayu yang dibina oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) pada acara yang diadakan kali ketujuh itu.

Pengurus Besar PjH, Mhd Zaini Mohd Mukhtar berkata, cabaran membina replika itu bagi mewujudkan rumah Melayu dan persekitaran kampung dalam suasana moden di bangunan Perbadanan Putrajaya.

"Kami mengelak daripada menggunakan pendekatan ringkas menggunakan replika model beberapa rumah tradisional Melayu dari negeri berbeza kerana ia akan mewujudkan suasana serupa di galeri persembahan.

Keunikan rumah tradisional Melayu Melaka turut menarik perhatian pelancong luar negara.

"Sebaliknya menerusi penyelidikan mengenai seni bina tradisional Melayu ketika melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina, saya mencadangkan pasukan projek itu untuk membina rumah panggung.

"Secara dasarnya, ia adalah sebuah rumah tinggi yang memaparkan empat elemen utama yang membentuk rumah Melayu tradisional iaitu tangga, bumbung berbentuk vernakular, pengudaraan melalui reka bentuk tingkap serta bumbung dengan hiasan.

"Walaupun padat dengan pengunjung namun mereka dapat merasai pengalaman dalam rumah itu serta budaya Melayu termasuk bagaimana tangga yang berhubung dengan serambi ke ruang utama rumah dengan reka bentuk dinding, bumbung serta tingkap," katanya.

Mhd Zaini berkata, projek tersebut selaras dengan elemen kempen Oxygenation PjH iaitu Breathing Life into Ideas and Breathing Life into Community.

Pengunjung merasai pengalaman sebenar seperti di kampung.

"Sejak awal pertumbuhan kediaman di Putrajaya sering menggunakan konsep moden dan terbuka dalam pelan induknya yang menyerupai perkampungan urban bagi mempromosikan masyarakat yang bersatu.

"Tidak ramai terutamanya generasi muda yang membesar di kawasan bandar tahu tentang rumah tradisional Melayu.

"Jadi rumah panggung ini akan memberi mereka peluang mengenali dan menghargai keindahan seni bina Melayu dan reka bentuknya yang sesuai dengan iklim dan gaya hidup masyarakat Melayu.

"Kami berbesar hati apabila rumah Melayu dihargai oleh pengunjung. Sebagai contoh, ada pelawat dari Melaka yang datang bersama keluarga memberitahu rumah Melayu mengembalikan nostalgianya ketika zaman kanak-kanak dan pernah membesar dalam rumah yang sama," katanya.

Mhd Zaini memberitahu replika 'rumah panggung' beri peluang kepada orang ramai mengenali dan menghargai keindahan seni bina rumah Melayu.

PjH melantik Tunas Hayat Sdn Bhd sebagai kontraktor bagi merealisasikan idea itu.

Pengarahnya, Mohd Hazify Saari memberitahu pihaknya perlu melakukan pelbagai penyelidikan bagi memastikan dapat mereka bentuk rumah panggung yang terbaik.

"Kami hanya mempunyai tujuh hari untuk melaksanakan projek itu dan cabaran terbesar adalah untuk mendapatkan bahan-bahan agar dapat membina rumah Melayu seasli mungkin.

"Bumbung diperbuat daripada daun rumbia. Ini adalah kali pertama saya menggunakan rumbia dan ada cara kaedah tertentu untuk meyusun di atas bumbung. Saya turut merujuk kepada pakar bagi mempelajari teknik yang betul.

Proses pembinaan dilakukan dengan teliti.

"Tiang biasanya menggunakan kayu keras tetapi sukar mendapatkannya jadi kami terpaksa menggunakan keluli sebagai ganti untuk memastikan ia dapat menampung berat. Kami mengambil berat tentang isu keselamatan kerana itu adalah keutamaan PjH.

"Secara tradisionalnya, papan yang digunakan untuk membuat dinding akan direndam di dalam air sungai selama beberapa hari bagi mendapatkan warna yang menonjol dan semula jadi.

"Bagaimanapun masa adalah musuh dan kami perlu membuat penambahbaikan menggunakan papan lapis dan mendapatkan khidmat seorang pelukis untuk melukis di atas papan itu menyerupai kayu asli.

"Pada masa lalu rumah Melayu terkenal dengan kerawang (corak hiasan kayu) yang merupakan simbol identiti dan status. Biasanya ia dibuat oleh tukang ukir. Lebih rumit ukiranyan maka lebih mahal," jelasnya.

Mohd Hafiz berkata sambutan orang ramai terhadap acara itu sangat positif.

Sejajar dengan perubahan masa, kini kebanyakannya dipotong menggunakan mesin.

"Untuk tangga masuk ke rumah kami memutuskan membuat konsep Rumah Melaka yang luas dan dihiasi warna-warna ceria," katanya.

Mohd Hazify berkata, beliau juga berusaha keras untuk mendapatkan perhiasan yang betul untuk menyempurnakan keseluruhan rumah itu selaras dengan tema rumah Melayu.

"Kami juga berjaya meminjam barangan antik daripada pengumpul barangan itu seperti gazebo kayu jati, skuter lama, basikal dan lampu minyak," katanya.

Ketua Komunikasi Korporat PjH, Mohd Hafiz Abdul Ghani berkata, pihaknya gembira dengan sambutan orang ramai terhadap acara itu.

Keindahan rumah Melayu Melaka di tengah Putrajaya. 

"Dari hari pertama, orang beratur menunggu giliran untuk mengambil gambar di hadapan Melaka Stairs. Pengunjung sangat ramai sehingga kami terpaksa menempatkan sukarelawan untuk mengawal keadaan.

"Kami turut mengadakan persembahan kebudayaan Melayu seperti joget inang, gamelan, zapin dan silat di hadapan rumah Melayu bagi mewujudkan kesedaran dan pendedahan kepada tradisi dan budaya Melayu," katanya.

Salah seorang pengunjung adalah pelajar, Muhammad Amar Adli Ramli, 18 dari Perak yang memberitahu suasana di situ mengingatkannya kepada sambutan hari raya dan kenduri di kampung.

"Suasana di rumah Melayu mengingatkan saya tentang kampung saya semasa hari raya dan kenduri apabila kawah dibawa untuk memasak.

"Orang kampung selalu bergotong-royong jika ada kenduri. Ia sangat mengimbau memori dan memberi peluang kepada orang ramai untuk mengetahui aktiviti penduduk kampung," katanya.

Artikel Lain