suria

Pegawai pukul penunggang motosikal berdepan tindakan tegas jika bersalah - JPJ

Video dua pegawai JPJ memukul seorang penunggang motosikal tular di media sosial.

VIDEO seorang penunggang motosikal yang dipukul pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagaimana yang tular di media sosial, sedang dalam siasatan.

Menerusi satu kenyataan, JPJ berkata, siasatan dalaman sedang dijalankan di peringkat Ibu Pejabat jabatan itu berhubung isu berkenaan.

Tambah kenyataan itu, tindakan tatatertib yang lebih tegas termasuk menamatkan perkhidmatan akan dikenakan terhadap mana-mana warga JPJ yang didapati bersalah melanggar undang-undang negara dan peraturan jabatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh video maki hamun di kaunter, JPJ jawab dakwaan berlaku di pejabatnya

ARTIKEL BERKAITAN: 22 lagi pegawai JPJ Pulau Pinang ditahan SPRM

"Pihak Pengurusan Tertinggi JPJ memandang serius isu-isu berkaitan integriti dan tidak sesekali akan berkompromi terhadap mana-mana warga JPJ yang didapati bersalah melakukan kesalahan tingkah laku," demikian menurut kenyataan itu.

Terdahulu, satu video berdurasi 45 saat tular melalui WhatsApp dengan memaparkan seorang penunggang motosikal berada di kawasan rumput di tepi jalan raya.

Video itu turut menunjukkan dua individu turun dari kenderaan JPJ yang melintang di tengah jalan raya berdekatan penunggang motosikal.

Dua individu itu kemudiannya menuju ke arah penunggang motosikal dan seorang daripada mereka dilihat memukul penunggang motosikal terbabit hingga menyebabkannya jatuh terduduk.

Kejadian terbabit dipercayai berlaku di Jalan Sandakan-Lahad Datu. - SINAR HARIAN

JPJ, penunggang motosikal, siasatan

Artikel Lain