suria

Sana-sini kemurungan! Depresi bakal jadi penyakit mental utama rakyat Malaysia, media sosial antara punca - “Kalau tak tahan, jangan jadi Instafamous”

Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada masalah kesihatan mental dan media sosial adalah salah satu penyumbang.

MASALAH kemurungan atau depresi bukan lagi perkara asing dalam masyarakat kita malah Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) menyebut ia bakal menjadi penyakit kesihatan mental utama rakyat Malaysia menjelang 2020.

Ini susulan semakin ramai orang dijangka mengalami peningkatan stres akibat tekanan kerja, peribadi dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Awas, kuasa tular rosakkan diri... boleh ‘mental’ dibuatnya! Mangsa viral terawal Malaysia dedah raih RM18,000 sebulan tapi dihantui ‘bisikan jahat’

ARTIKEL BERKAITAN: Hebatnya impak kebencian media sosial, Alieff Irfan 3 hari tak keluar rumah gara-gara ‘Cikgu Suraya’ - “Saya tak takut dicop gila”

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun lalu juga menunjukkan 29 peratus rakyat Malaysia mengalami depresi dan gangguan kecelaruan berbanding 12 peratus pada 2011.

Media sosial merupakan antara penyumbang kepada masalah kesihatan mental.

Menurut kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, depresi bererti keadaan mental yang mempunyai ciri seperti perasaan sedih dan putus asa serta gangguan terhadap aktiviti harian.

Keadaan ini merupakan tindak balas mental yang normal terhadap sesuatu musibah atau merupakan penyakit jiwa sekiranya teruk dan berpanjangan.

Kecanggihan teknologi serta kuasa media sosial juga dilihat antara penyumbang kepada tekanan serta masalah depresi terutamanya dalam kalangan remaja serta selebriti.

Tahun ini sahaja, peminat Kpop dikejutkan dengan berita artis kesayangan mereka seperti Goo Hara dan Sulli ditemui mati dipercayai akibat membunuh diri gara-gara tertekan dengan komen negatif diterima mereka secara berterusan di laman sosial.

Bagaimanapun ramai masih merasakan komen negatif sebagai perkara remeh untuk dijadikan alasan mengambil nyawa sendiri tanpa menyedari bahawa ia mampu memberi kesan kepada emosi dan kesihatan mental seseorang.

Pelbagai faktor menyumbang kepada masalah penyakit mental. 

Faktor depresi dan media sosial

Mengulas hal itu, Presiden Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (Miasa) Anita Abu Bakar berkata, media sosial bukanlah faktor utama kepada penyakit mental namun ia merupakan penyumbang ke arah masalah itu khususnya dalam zaman teknologi hari ini.

"Media sosial bukanlah faktor atau punca utama, tetapi ia boleh menyumbang kepada penyakit mental. Masyarakat perlu faham, ia memerlukan banyak faktor untuk seseorang itu mendapat penyakit mental.

"Boleh jadi ia berpunca daripada trauma akibat kejadian lampau seperti penderaan emosi, seksual atau fizikal. Faktor genetik juga boleh dikaitkan.

"Sekarang, perkataan depresi dipakai secara longgar menyebabkan stigma mengenainya menjadi menebal. Ia bukan sekadar tekanan emosi, resah atau gelisah. Apabila hal ini berlaku, ramai yang akan ambil mudah ke atas mereka yang betul-betul ada penyakit mental," katanya.

Menurut Anita lagi, apabila seseorang individu berada dalam media sosial, mereka juga sering ditayangkan dengan paparan kehidupan orang lain yang bersifat sempurna dan tidak realistik sehingga wujudnya perbandingan ke atas diri sendiri.

Presiden Miasa, Anita Abu Bakar.

Jelasnya, tiada siapa yang mahu menunjuk-nunjuk kesengsaraan atau penderitaan mereka, sekali gus memaparkan ilusi kehidupan yang bersifat selektif sehingga menyebabkan ia disalah tafsir oleh individu lain.

"Cara kita nilai diri sendiri berubah dengan adanya media sosial. Biasanya orang akan muat naik perkara-perkara bagus sahaja. Jadi kita lihat kehidupan seseorang yang mereka pilih untuk kongsi walaupun ia ternyata tidak benar.

"Tambah buruk apabila kita mengikuti laman sosial orang kaya, selebriti mahupun Instafamous. Perbandingan dengan diri kita menjadi tidak realistik. Itu sebenarnya kenapa ia jadi faktor penyumbang juga.

Risiko golongan popular terkena depresi

Bercerita mengenai individu-individu yang sering menjadi perhatian masyarakat seperti selebriti dan Instafamous, Anita berkata mereka antara yang berisiko mendapat depresi kerana sudah meletakkan kehidupan untuk menjadi tatapan awam di luar sana.

Populariti di media sosial membolehkan seseorang individu itu menjana pendapatan jika bijak merebut peluang.

Namun katanya, ia bergantung atas daya ketahanan diri serta bagaimana mereka mengawal penerimaan persepsi khususnya yang dilemparkan menerusi media sosial.

"Ada antara mereka gunakan media sosial untuk cari rezeki. Kalau kita ambil sedikit empati dan letakkan diri kita di tempat merea, kita pun tak mahu sentiasa dikecam.

"Sebagai masyarakat, kita kadang-kala mudah nak menghukum. Nasihat saya juga, kalau tak tahan, jangan jadi Instafamous atau jangan baca komen. Itu adalah nature of the job mereka.

"Kalau orang biasa pula yang tiba-tiba tular akibat ada sesuatu kes yang berlaku, mereka juga berisiko terkena depresi jika sudah ada sejarah sakit mental ataupun sudah ada tekanan akibat kejadian-kejadian sebelum itu," ujarnya lagi.

Sarannya, gunalah media sosial dengan bertanggungjawab dan berdisiplin agar ia menjadi ruang yang sihat untuk masyarakat.

Artikel Lain