Tiada doktor Indonesia latih doula, khidmat 'peneman' jadi trend selebriti bersalin - Dr Tri - Semasa | mStar

Tiada doktor Indonesia latih doula, khidmat 'peneman' jadi trend selebriti bersalin - Dr Tri

Dr Tri Maharani.

TIADA 'doktor' bertauliah di Indonesia yang menawarkan khidmat melatih mana-mana individu yang berhasrat menjadi doula sebagaimana didakwa Hayati Muzaffar baru-baru ini.

Anggota Ikatan Doktor Indonesia (IDI), Dr Tri Maharani berkata beliau yakin dakwaan Hayati selaku doula bebas itu tidak benar kerana hasil pemeriksaan mendapati petugas kesihatan di negara itu tidak menawarkan latihan untuk menjadi doula.

"Saya boleh mengesahkan tidak ada seorang pun pakar kecemasan yang akan melakukannya. Malah saya juga yakin teman-teman (bahagian) Obstetrik dan Ginekologi serta teman-teman perbidanan tidak mengajar doula.

"Bagi saya sudah pasti (individu yang dikatakan melatih doula) bukan dalam kalangan midwife (bidan) atau doktor. Orang sekarang belajar di Internet saja pun sudah mengaku bidan... orang menganggur pakai baju doktor pun mengaku dia doktor.

ARTIKEL BERKAITAN:"Dia harus minta maaf" - Doktor pakar Indonesia malu dikait latih doula

"Jadi kalau pun dia mengaku, boleh jadi orang itu menyamar jadi doktor atau bidan. Kami tidak guna khidmat doula. Sebetulnya di Indonesia ada kerjasama antara bidan dengan doktor dan juga doktor pakar untuk memudahkan proses bersalin," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di ibu negara pada Rabu.

Dr Tri menghadiri Simposium Penjagaan Kritikal Kebangsaan 2019 dan persidangan berkaitan parasitologi dan perubatan tropika yang diadakan di negara ini.

Kaedah bersalin menggunakan khidmat doula dilihat menjadi trend ibu-ibu moden.

Tambah Dr Tri, beliau sudah membuat pemeriksaan terhadap semua doktor pakar kecemasan dan tiada seorang pun menawarkan perkhidmatan melatih doula.

"Jika dulu saya maklumkan hanya ada 58 doktor pakar kecemasan, tapi sekarang sudah ada 60 orang. Ada pertambahan dua orang... baru dapat tauliah. Ternyata tiada doktor pakar kecemasan yang terlibat (melatih doula).

"Bilangan kami amat sedikit dan tugas kami berat. Kami bertanggungjawab terhadap hampir 300 juta nyawa rakyat Indonesia. Mana mungkin kami ada masa untuk semua itu. Jadi dakwaan doula bebas itu (menerima latihan daripada doktor di Indonesia) merupakan tuduhan berat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Melampau! Siap cakap saya nak makan McD hari-hari" - Bekas klien dedah sikap doula kontroversi, kecewa dihina

Beliau turut kecewa apabila doula bebas itu masih belum membuat sebarang permohonan maaf di atas dakwaannya yang memalukan doktor pakar kecemasan di Indonesia.

"Sudah tentu saya kecewa. Dakwaan itu ternyata satu fitnah besar kepada doktor pakar kecemasan Indonesia. Saya rasa dia mungkin takut untuk minta maaf kerana menyedari dakwaannya itu salah," katanya.

Ditanya mengenai sama ada wujud golongan menggunakan perkhidmatan doula di Indonesia, Dr Tri yang berpengalaman selama lapan tahun sebagai doktor pakar kecemasan berkata ada tetapi jumlahnya tidak banyak.

Topik doula yang dibincangkan menerusi program Analisis bulan lalu terus menjadi isu panas sehingga hari ini.

Malah Dr Tri berkata proses bersalin menggunakan khidmat doula di Indonesia dilihat sebagai satu trend pada hari ini.

"Doula itu baru-baru aja. Kiranya jadi trend untuk ibu-ibu moden gara-gara artis terkenal bersalin menggunakan kaedah itu. Mungkin profesi itu sudah ada agak lama tapi jadi trend sejak setahun yang lalu.

"Jadi jelas apa yang doula lakukan tidak sesuai dengan prinsip Obstetrik dan Ginekologi. Mereka (doula) tidak diajari tentang makna nyawa. Mereka terusan percaya persalinan natural itu bagus tanpa mereka fahami proses itu tidak boleh dilakukan di rumah tanpa pemantauan doktor atau bidan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bahaya! Kursus doula tak diiktiraf, bayi dan ibu terdedah risiko jangkitan kuman, tumpah darah

Jelas Dr Tri lagi, golongan yang bersalin menggunakan khidmat doula ini kebiasaannya mereka yang cetek ilmu kesihatan dan juga anti vaksin.

Bilangan kami amat sedikit. Tugas kami berat. Kami bertanggungjawab terhadap hampir 300 juta nyawa rakyat Indonesia. Mana mungkin kami ada masa untuk semua itu. Jadi dakwaan doula bebas itu merupakan tuduhan berat.

DrTri Maharani

"Biasanya orang yang melakukannya adalah mereka yang rendah ilmu kesihatan, hanya golongan terkenal seperti artis dan mereka juga menolak imunisasi.

"Golongan seperti ini mempunyai doktrin mereka sendiri. Mereka sukar menerima sesuatu yang sebenarnya membawa manfaat kepada semua," katanya.

Susulan itu, Dr Tri menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil tindakan sewajarnya bagi mengharamkan khidmat doula tidak bertauliah agar tiada lagi yang tertipu dengan dakyah songsang kumpulan tersebut.

Sentuhan kulit ke kulit antara ibu dan bayi turut diamalkan di kebanyakan hospital.

"Saya dimaklumkan ada beberapa kes kematian pernah berlaku disebabkan bersalin menggunakan doula. Saya rasa sudah tiba masanya kerajaan Malaysia lakukan sesuatu supaya tiada lagi nyawa terkorban.

"Sekarang mungkin baru satu... dua kes. Jadi takkan kita mahu tunggu lebih ramai terkorban baru bertindak. Kerajaan Malaysia perlu tegas menentang golongan doula yang tidak diiktiraf dalam dunia perubatan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sumpah Quran di live FB, ustaz nasihat bakal ibu jangan terpedaya dengan doula!

Dr Tri turut menegaskan kerajaan Indonesia sendiri tidak mengiktraf peranan doula di negara tersebut.

"Masyarakat Indonesia ada program Klinik Ibu dan Anak (KIA) dan semua ibu harus berdaftar dengan Puskesmas (klinik kesihatan) atau hospital mini di setiap daerah.

"Program KIA sangat ketat. Kalau ada kematian ibu melahirkan maka doktor dan bidan akan dihadapkan ke jawatankuasa perubatan. Malah doktor dan bidan juga boleh dipenjarakan jika didapati bersalah," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain