suria

“Melampau! Siap cakap saya nak makan McD hari-hari” - Bekas klien dedah sikap doula kontroversi, kecewa dihina

Nora bersama suaminya selepas selamat melahirkan puteri sulung mereka pada 2015. Foto ihsan Noor Inora Puteri.

SEBELUM ini hangat isu doula bertikam lidah dengan netizen dan doktor berhubung kepercayaan kaedah perubatan yang kononnya bersalin di rumah lebih selamat berbanding di hospital.

Tidak habis perang mulut antara doula dan netizen, kali ini seorang bekas klien doula kontroversi itu mendakwa dirinya turut terpalit dengan isu sama.

Ia berikutan tindakan bekas klien tersebut yang juga seorang ahli perniagaan berkongsi pengalaman pernah berurusan dengan doula berkenaan dengan mendedahkan dia pernah membuat bayaran ribuan ringgit untuk caj perkhidmatannya sekitar empat tahun lalu.

Hal ini timbul gara-gara tindakan doula terbabit yang memberitahu dia menawarkan khidmat sebagai peneman ibu bersalin tanpa sebarang bayaran semasa bersiaran langsung dalam sebuah program bual bicara stesen televisyen tempatan, Jumaat malam lalu.

Bekas klien tersebut, Noor Inora Putri Noorzainy memberitahu kenyataan doula bebas berkenaan, Hayati Muzaffar yang dikenali sebagai Kak Yat amat berbeza dan mengelirukan.

"Kalau dia cakap percuma bagi saya itu tak betul... dia tak patut tipulah. Saya tak pasti jika dia buat percuma baru-baru ini, tapi masa saya mengandungkan anak pertama empat tahun lalu kami dikenakan bayaran untuk mengikuti kelasnya.

"Orang keliru sebab ada yang DM saya kenapa caj sampai beribu. Mereka tak percaya tapi sebenarnya kalau kelas yang ramai-ramai pun dah caj RM500. Saya beritahu kami pilih kelas peribadi, suruh dia (Kak Yat) datang rumah. Jadi kami bayar hampir RM2,000," katanya.

Nora berkongsi gambar doula tersebut semasa sesi kelas 'bersalin' di rumah mereka, empat tahun lalu.

Bagaimanapun Noor Inora atau lebih mesra disapa Nora memberitahu dia tidak meneruskan kelas bersama doula tersebut kerana merasakan 'ada sesuatu yang tidak kena'.

ARTIKEL BERKAITAN: Doula dikecam melalut, buat simbol Ultraman ketika siaran langsung TV

"Saya dan suami sebenarnya mahu belajar teknik bersalin tanpa sakit (hypnobirthing), lebih kepada teknik meneran... teknik bernafas semasa hendak bersalin bukan nak ambil doula.

"Masa kelas pertama tu dia tak ajar teknik bernafas tapi cara ketika hendak bersalin (duduk... kangkang seperti ditunjukkan dalam TV semasa live). Jadi kami rasa pelik dan tidak selesa.

"Pada masa sama dia juga tunjuk video adik dia bersalin dekat rumah. Kami tengok video tu pun takut. Bila dia balik je saya cakap kat suami Ya Allah apa kita belajar ni. Dari situ saya tak teruskan kelas dengan dia dah," katanya kepada mStar Online.

Nora berkata, dia sekadar berkongsi pengalamannya dengan pengikutnya di Instagram memandangkan isu doula menjadi topik hangat program bual bicara di sebuah stesen televisyen.

"Kalau ada yang dah lama 'follow' saya dekat IG mesti anda dah tahu saya memang suka kongsi pengalaman berkaitan apa sahaja.

"Sebenarnya kapsyen Nora berkaitan doula dah pernah ada dekat Facebook setahun ke dua tahun lepas jadi saya copy paste semula. Tapi tak sangka viral dan netizen buat paparan skrin masuk page di Facebook," katanya.

Kenyataan Kak Yat yang dikongsi Nora di InstaStory miliknya. 

Nora bagaimanapun berkata dia sebenarnya enggan memanjangkan hal tersebut tetapi terpaksa mempertahankan dirinya selepas doula terbabit berkata sesuatu tidak baik mengenai dirinya.

"Ingatkan dah habis kat situ tapi jadi lebih teruk. Ada seseorang screenshot dan kongsi pengalaman saya dekat 'alumni' kumpulan WhatsApp tapi dia 'spin' pula cakap saya obesiti. Saya amat marah.

"Anda buat salah tapi anda cari salah orang lain. Sebagai seorang bekas klien saya kecewa kerana dia sepatutnya menyokong ibu hamil tetapi menghina bentuk fizikal mereka. Siap cakap saya nak makan McDonald hari-hari. Melampau!" katanya.

Malah Nora berkata apa yang diperkatakan doula terbabit berunsur fitnah dan tidak benar.

"Dia juga kata saya buat muka bila dia ajar diet ibu hamil. Nak merajuk buat apa? Itu maksudnya saya tidak berminat. Siapa kawan saya yang bersama kami semasa kelas tersebut? Untuk pengetahuan semua hanya saya, suami dan Kak Yat sahaja pada waktu itu... tiada orang lain.

"Dari situ dia dah menipu. Apa yang dia kata semuanya tidak benar. Jika anda profesional anda tidak akan memfitnah mahupun menghina bentuk fizikal klien. Sudah-sudahlah beritahu bersalin dekat hospital tak bagus. Walaupun dia berkias-kias tapi kita faham apa maksud yang dia cuba sampaikan," kata ibu kepada dua anak itu.

Nora semasa bersalin anak keduanya memberitahu dia bersalin secara normal tanpa sebarang komplikasi.

Dalam pada itu, Nora turut menasihati mana-mana bakal ibu supaya tidak terpengaruh dengan pujukan dan rayuan kumpulan doula di negara ini.

"Gunakan khidmat doula untuk bersalin di rumah bukan satu idea yang bagus. Kalau dekat luar negara boleh ada doula semasa hendak bersalin kerana mereka bekerjasama dengan pasukan perubatan.

"Tapi dia Malaysia belum ada lagi doula yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jadi jangan mudah terpengaruh. Tolong bersuara dan jangan malu, jangan takut. Insya-Allah semua rakyat Malaysia ada di belakang kita," katanya.

Sebelum ini, Hayati semasa program bual bicara 'Analisis' bertajuk "Doula Peneman Ibu atau Pengganti Doktor' berkata dia memberikan khidmat sebagai peneman secara percuma kepada ibu bersalin.

"Title saya 'freelance doula' bermaksud saya memberikan khidmat sebagai peneman tanpa bayaran dan saya berkhidmat kepada komuniti tempatan atas dasar sukarela dan di atas jemputan ibu bapa.

"Di Malaysia bagaimana saya bermula terjebak bukan profesion sebab saya tak menerima bayaran. Jadi ia sebenarnya kerjaya dan keazaman (vocation dan patience)," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Nora, doula

Artikel Lain