suria

“Terkejut Tok OKU, suami lumpuh tinggal di motel, duit minta sedekah tak cukup bayar sewa” - Pelajar IPT

Keadaan kaki 'Tok' (kanan) yang membuatkan dia sukar berjalan.

SEORANG pelajar tidak menyangka niat baiknya untuk berkongsi kisah kesusahan hidup pasangan warga emas orang kelainan upaya (OKU) yang ditemuinya menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan netizen.

Menurut Siti Nur Umirah Shamsudin, ada pengguna media sosial yang mengecam tindakannya memuat naik kisah pasangan tersebut kerana mendakwa maklumat yang dikongsi tidak tepat.

"Pada mulanya saya pun tidak tergamak nak sebarkan pasal nenek tu, tapi saya fikir mungkin ada ramai orang yang nak bantu dia.

"Biarlah orang kata nenek tu sebenarnya memang sudah dibantu, walaupun dia beritahu saya dia tak dapat bantuan. Itu urusan dia dengan Tuhan, niat saya hanya nak dia hidup lebih selesa," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Siti Nur Umirah.

Menerusi posting tersebut, Siti Nur Umirah memberitahu dia menemui seorang warga emas berusia lingkungan 70-an meminta sedekah berhampiran sebuah pasar di Kampung Berjaya, Alor Setar.

Wanita yang hanya dipanggil Tok itu memberitahu pelajar tersebut bahawa dia tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak dan terpaksa meminta sedekah untuk menampung hidup bersama suaminya yang lumpuh.

Pelajar jurusan Diploma Pemasaran di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Jitra itu berkata, dia simpati melihat kesukaran Tok berjalan dan menawarkan untuk menghantarnya pulang.

Kata wanita berusia 25 tahun ini, nenek itu tinggal berdua dengan suaminya di Motel Jabatrah yang terletak berhampiran Terminal Bas Shahab Perdana.

Di bilik motel inilah, Tok dan Tok Wan tinggal sebagai tempat berteduh.

"Saya terkejut juga ketika Tok beritahu dia berdua tinggal di motel, saya tanya berapa sewa sebulan.

"Dia kata RM700 sebulan dan sewa bulan lepas tertunggak sebab tak mampu nak bayar. Bila ditanya kenapa tidak duduk di rumah sewa, Tok kata dia pun tak tahu macam mana nak cari rumah dengan keadaan kaki yang susah berjalan dan Tok Wan (suaminya) pun lumpuh," jelasnya.

Tambahnya, Tok mendakwa mempunyai seorang anak perempuan yang tinggal di Kampung Bukit Besar dan juga hidup dalam kekurangan.Selepas posting tersebut tular, ramai pihak yang menghubungi Siti Nur Umirah untuk membantu pasangan warga emas terbabit.

"Saya nak kongsi nombor telefon pun tak boleh sebab Tok tiada telefon bimbit, tapi saya dah minta izin dengan dia untuk kongsi kisah ini di Facebook."Jadi, sesiapa yang nak hulur bantuan boleh ke motel tersebut untuk cari Tok dan Tok Wan," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Siti Nur Umirah

Artikel Lain