Tiada isytihar darurat di Pasir Gudang - Semasa | mStar

Tiada isytihar darurat di Pasir Gudang

Pasukan Unit Hazmat (Bahan Berbahaya) Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan kerja-kerja pemeriksaan di kawasan insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang, Khamis. Foto Bernama

TIADA keperluan untuk mengisytiharkan darurat susulan insiden pencemaran akibat pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor, kerana ia ditangani sebagaimana keadaan darurat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hanipa Maidin.

Beliau berkata pada masa ini, keadaan itu masih boleh dikendalikan oleh pihak berkuasa negeri dan kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, walaupun tidak ada permintaan untuk pengisytiharan darurat oleh kerajaan persekutuan, kita menanganinya seolah-olah darurat di sana," katanya ketika menggulung perbahasan usul pengisytiharan darurat di Pasir Gudang.

Di lobi Parlimen, beliau kemudian menjelaskan bahawa kerajaan tidak menolak usul itu untuk dibahaskan.

"Isu tersebut merupakan kepentingan awam dan kami mahu ia dibahaskan," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, permintaan untuk pengisytiharan darurat tidak diterima kerana tiada permintaan rasmi daripada negeri itu.

Hanipa juga menyatakan bahawa kerajaan persekutuan bersetuju untuk memperuntukkan RM8 juta bagi pembersihan segera sungai-sungai di kawasan yang terjejas.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim membentangkan usul di Dewan Rakyat bagi membahaskan mengenai insiden pembuangan sisa toksik di Pasir Gudang.

Hassan berkata, insiden tersebut menjejaskan sebahagian besar penduduk tempatan mengakibatkan mereka dimasukkan ke hospital, dan beliau menggesa ahli Parlimen membincangkan sama ada untuk pengisytiharan darurat di kawasan itu. - The Star

darurat , Sungai Kim Kim , toksik , Pasir Gudang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain