“Dia harus minta maaf” - Doktor pakar Indonesia malu dikait latih doula Malaysia - Semasa | mStar

“Dia harus minta maaf” - Doktor pakar Indonesia malu dikait latih doula Malaysia

Dr Tri Maharani (kanan) bersama dengan Dr Muhammad Na'im Ab Razak dari Malaysia. Foto ihsan Dr Muhammad Na'im.

KENYATAAN doula bebas Hayati Muzaffar yang mendakwa mendapat latihan untuk mengawal selia kelahiran di rumah daripada seorang doktor di Indonesia menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengamal perubatan negara jiran berkenaan.

Presiden Toxinology Society of Indonesia, Dr Tri Maharani menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Hayati atau dikenali dengan panggilan Kak Yat itu.

“Wah menakutkan sekali. Saya kira itu tidak benar. Saya pasti tidak ada seorang pun pakar kecemasan yang akan melakukannya.

“Saya sangat terkejut apabila ada pakar kecemasan dikaitkan dengan amalan itu. Tentu sahaja kami tidak setuju,” katanya kepada mStar Online.

Menurut Dr Tri, kerajaan Indonesia sendiri tidak mengiktraf peranan doula di negara tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Bahaya! Kursus doula tak diiktiraf, bayi dan ibu terdedah risiko jangkitan kuman, tumpah darah

“Di sini tidak boleh guna doula. Kalau pun ada di desa terpencil yang tiada doktor atau bidan. Itu pun kerana terpaksa.

“Namun masyarakat Indonesia ada program Klinik Ibu dan Anak (KIA) dan semua ibu harus berdaftar dengan puskesmas (klinik kesihatan) atau hospital mini di setiap daerah,” katanya.

Indonesia tidak mengiktiraf golongan doula di negara tersebut.

Jelas Dr Tri yang berkhidmat sebagai pakar kecemasan selama lapan tahun, mereka tidak sesekali akan meminta doula untuk membantu proses menyambut kelahiran bayi.

“Ya pasti tidak ada. Ini kerana program KIA sangat ketat. Kalau ada kematian ibu melahirkan maka doktor dan bidan akan dihadapkan ke jawatankuasa perubatan.

“Malah doktor dan bidan juga boleh dipenjarakan kalau bersalah. Jadi kami sangat takut. Angka kematian ibu hamil dan melahirkan tinggi, jadi strategi ini dilaksanakan sejak 30 tahun lalu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkedu tengok uri dibiar kering di sebelah bayi, ibi meroyan selepas bersalin guna khidmat doula

Susulan itu, Dr Tri menggesa Hayati supaya membuat permohonan maaf kepada pakar perubatan kecemasan di Indonesia.

“Dia harus minta maaf. Kenyataan dia membuatkan kami semua malu. Pakar kecemasan di seluruh Indonesia tidak ramai, hanya ada 58 orang kesemuanya.

“Jadi saya kenal dan tahu semua. Tapi kalau (individu) mengaku pakar atau pakar kecemasan palsu mungkin ada. Jika Doktor Perubatan Am (GP) atau doktor mengaku pakar kecemasan itu soal lain. Saya yakin bukan pakar kecemasan,” katanya.

Topik doula yang dibincangkan menerusi program Analisis, malam Jumaat lalu terus menjadi isu panas sehingga hari ini.

Terdahulu semasa program bual bicara Analisis yang disiarkan menerusi stesen TV Al-Hijrah, Jumaat malam lepas, Kak Yat memberitahu dia mendapat latihan menjadi doula daripada seorang doktor pakar di bahagian kecemasan di Indonesia kira-kira tujuh tahun lalu.

“Pertama kali masa saya dilatih menjadi doula pada 2012 dibawah pimpinan seorang doktor bekerja di Jakarta sebagai doktor pakar kecemasan.

“Dia ada studio yoga. Jadi dia ajar di dalam studio yoga untuk jadi penyokong emosi,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: "Melampau! Siap cakap saya nak makan McD hari-hari" - Bekas klien sikap doula kontroversi, kecewa dihina

Namun Dr Tri menyangkal dakwaan bahawa terdapat pakar kecemasan di negara itu memilki studio yoga.

“Seramai 58 pakar kecemasan Indonesia tidak ada praktik di rumah dan buka studio yoga. Saya pasti itu bukan pakar kecemasan. Mungkin doktor biasa atau GP atau doktor palsu.

“Jadi saya memerlukan nama doktor yang dimaksudkan untuk saya buat laporan kepada Kementerian Kesihatan dan Persatuan Doktor Indonesia,” katanya.

doula , Hayati Muzaffar , doktor , Indonesia

Artikel Lain