suria

"Kami dibayar RM1.4 juta oleh PAS untuk selesaikan kes saman luar mahkamah" - Rewcastle Brown

Clare Rewcastle Brown.

EDITOR Sarawak Report Clare Rewcastle Brown mendakwa PAS melalui perantara membayar lebih RM1.4 juta kepada portal berita tersebut untuk menyelesaikan saman fitnah Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap dirinya di luar mahkamah.

"Sarawak Report boleh mengesahkan bahawa menjelang akhir tahun lalu, ia ditawarkan untuk penyelesaian di luar mahkamah oleh PAS menerusi pengantara yang merupakan penyokong parti itu yang mengambil bahagian dalam keputusan asal untuk menyaman portal tersebut.

"Terdapat rundingan yang luas dengan perantara, di mana Sarawak Report mempunyai rekod yang disampaikan kepada Hadi dan ejennya dalam PAS yang terlibat dalam kes itu.

"Akhirnya, Abdul Hadi dan penasihatnya dalam PAS bersetuju dengan Sarawak Report mengenai terma termasuk pembayaran tersebut di mana perantara, seorang peguam dan seorang penyokong PAS bertemu peguam Sarawak Report di Kuala Lumpur pada 24 Januari lalu untuk memuktamadkan terma tersebut," kata Rewcastle Brown seperti disiarkan dalam Sarawak Report pada Khamis.

Sarawak Report turut menyiarkan terma dokumen perjanjian di luar mahkamah , sekeping cek atas nama Americk Sidhu - peguam Sarawak Report di Kuala Lumpur - dan cover letter kepada Malayan Banking Bhd untuk memindahkan dana kepada akaun bank Rewcastle Brown di London.

Rewcastle Brown turut mendakwa perantara PAS pada awalnya menunjukkan bahawa mereka mahu membayar wang secara tunai tetapi peguam Sarawak Report menolak pembayaran tunai dan sebaliknya menerima cek selepas tarikh 31 Januari.

"Kenyataan umum baru-baru ini sekali lagi mengelirukan Malaysia untuk memahami bahawa Sarawak Report tidak dibayar dan ia sendiri mengalah daripada mempertahankan kedudukannya yang mana ia tidak benar.

"Dalam proses ini mereka melanggar syarat-syarat perjanjian mereka sendiri untuk tidak membincangkan syarat-syarat penyelesaian. Oleh itu Sarawak Report berhak mendedahkan kebenaran kepada orang ramai," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata beliau mempunyai dokumen untuk menafikan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai bayaran RM1.4 juta antara Hadi dan Rewcastle Brown.

Pendedahan Sarawak Report mengenai jumlah tersebut bagaimanapun sama dengan apa yang didakwa Anwar. - The Star

Artikel Lain