suria

Bahaya! Kursus doula tak diiktiraf, bayi dan ibu terdedah risiko jangkitan kuman, tumpah darah

BARU-baru ini tular gambar seorang bayi yang dilahirkan secara normal menggunakan khidmat doula telah dibiarkan dalam keadaan tali pusat masih bersambung pada uri.

Lebih mengejutkan uri tersebut pula dibiarkan kering di sebelah bayi tersebut atas alasan kaedah itu membolehkan tali pusat lebih cepat tertanggal dengan sendiri.

Bagaimanapun kaedah tersebut sebenarnya boleh memudaratkan kesihatan bayi yang baharu dilahirkan.

Menurut Penasihat Kesihatan Wanita dan Kehamilan MedtweetMY, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, bayi yang dibiarkan dalam keadaan masih bersambung dengan uri mudah terdedah kepada risiko jangkitan kuman.

"Apabila uri masih dibiarkan bersambung pada bayi dengan keadaan persekitaran yang kita sendiri tidak tahu tahap kebersihannya, bayi tersebut akan terdedah kepada jangkitan kuman.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkedu tengok uri dibiar kering di sebelah bayi, ibu meroyan selepas bersalin guna khidmat doula

"Kuman akan travel menyerang bayi seterusnya menyebabkan jangkitan kuman yang teruk (sepsis). Uri juga dijadikan Allah untuk mereput selepas keluar dari badan. Bila dah mereput kuman suka duduk tempat kotor jadi risko jangkitan kuman amat tinggi," katanya ketika dihubungi mStar Online.


Dr Muhammad Izzat Abdul Razak. Foto ihsan Dr Muhammad Izzat.

Susulan itu, Dr Muhammad Izzat berkata selepas bayi dilahirkan doktor akan memotong tali pusat dan mengapitnya berdasarkan dua fungsi utama.

"Pertama, ia akan bertindak memutuskan peredaran darah antara ibu dan anak. Bila dan putus, uri akan keluar dan rahim akan mengecut dengan sendiri. Itu kita sebut sebagai active management of third stage, maksudnya sementara menunggu uri keluar kita potong tali pusat untuk mengurangkan pendarahan selepas bersalin.

"Kalau kita biarkan uri itu lebih banyak darah akan pergi kepada baby maka berlakulah overload. Tidak ada sekatan (darah) mengalir terus menerus kepada bayi. Darah banyak bukan sesuatu yang bagus kerana ia boleh mengganggu peredaran darah terutama pada jantung.

"Kedua, bila ibu tak putuskan (tali putus dan uri), rahim takkan mengecut dan risiko pendarahan selepas bersalin sangat tinggi. Sebab itu kita apit dulu, lepas itu dalam beberapa minit uri akan tertanggal sendiri kerana fungsinya sudah tamat, jadi kita potong," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: "Melampau! Siap cakap saya nak makan McD hari-hari" - Bekas klien dedah sikap doula kontroversi, kecewa dihina

Dalam pada itu, Dr Muhammad Izzat turut menjelaskan bahawa tidak semua ibu bersalin menggunakan kaedah Caesarean sebagaimana didakwa kumpulan doula ekstrim di negara ini.

"Tidak semua. Ia bergantung kepada beberapa indikasi seperti uri bawah, tali pusat terkeluar dulu dan jantung bayi lemah. Jadi pembedahan perlu dilakukan untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

"Jadi doula tak sepatutnya beritahu pesakit dibedah (c-zer) jika bersalin di hospital. Jangan takut-takutkan mereka. Pesakit hanya akan dibedah mengikut prosedur klinikal," katanya.

Sentuhan kulit ke kulit antara ibu dan bayi selepas dilahirkan turut diamalkan di kebanyakan hospital.

Dr Muhammad Izzat memberitahu proses bersalin tanpa pemantauan doktor boleh membahayakan nyawa ibu yang melahirkan.

"Sebagai contoh kes arwah Amy Karmila. Mengikut rakan saya yang menguruskan kes tersebut berlaku pendarahan di rumah dan bila dia dibawa ke hospital keadaan sudah terlambat. Pendarahan terlampau banyak, jadi apa-apa ubat yang kita bagi pesakit untuk kecutkan rahim sudah tidak berfungsi.

"Jadi ibu digalakkan bersalin di hospital kerana jika berlaku apa-apa komplikasi tindakan segera boleh dilakukan. Kalau dirumah, penyambut kelahiran itu tidak terlatih. Mereka akan biarkan sahaja sehingga pada satu tahap dah kritikal pesakit dibawa ke hospital tapi sudah terlambat," katanya.

Sementara itu, Dr Muhammad Izzat turut menasihati orang ramai yang pernah menggunakan khidmat doula untuk berkongsi pandangan mengenai apa yang pernah dilalui mereka supaya menjadi pengajaran kepada orang lain.

"Golongan doula masih minoriti di negara ini tapi mereka ada pengikut tersendiri. Pengikut mereka pula dilatih untuk menjadi doula. Kursus mereka secara dalam talian tak diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kita tak tahu apa yang diajar.

"Kadang-kadang orang suka dengar testimoni. Jadi mereka (bekas pesakit) adalah calon sesuai untuk memberikan pandangan mengenai apa yang diajar doula dan nasihat mereka kepada orang lain selepas mereka sendiri melaluinya," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
doula, uri, tali pusat, KKM, Amy Karmila

Artikel Lain