HASRAT seorang kanak-kanak perempuan untuk keluar bersiar-siar berakhir dengan tragedi memilukan apabila dia disahkan maut selepas terperangkap di dalam kereta keluarganya, kira-kira pukul 2.30 petang Selasa.Dalam kejadian di Khon Kaen, Thailand itu, mangsa yang baru berusia empat tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kenderaan yang diletakkan di luar rumah mereka. Ibu mangsa yang berusia 34 tahun memaklumkan bahawa dia sebelum itu ada berjanji untuk membawa anaknya keluar berjalan-jalan.Namun, dia meninggalkan kanak-kanak itu bermain sendirian buat seketika dan menyangka anaknya berada di rumah neneknya.Alangkah luluhnya hati si ibu apabila pemeriksaan lanjut akhirnya membawa kepada penemuan mangsa yang sudah terkulai layu di dalam kereta.Walaupun bantuan kecemasan cuba diberikan, namun nyawa kanak-kanak malang itu gagal diselamatkan. Misteri bagaimana mangsa boleh berada di dalam kenderaan itu terjawab menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan mangsa masuk sendiri melalui pintu pemandu sebelum menutupnya semula.Pihak polis percaya mangsa terperangkap untuk tempoh yang lama sehingga menyebabkan dia mengalami kekurangan oksigen yang teruk.Siasatan lanjut kini sedang dijalankan, termasuk mengambil keterangan ahli keluarga serta proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. -Agensi