Firma barang kemas Lubnan saman Rosmah Mansor - Semasa | mStar

Firma barang kemas Lubnan saman Rosmah Mansor

PETALING JAYA: Firma barang kemas terkemuka Lubnan memfailkan saman AS$14.79 juta (hampir RM60 juta) terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bulan lalu atas penghantaran 44 item kepadanya pada Februari lalu, sebelum dirampas polis baru-baru ini.

Dilaporkan Global Royalty Trading SAL yang berpangkalan di Beirut telah memfailkan saman terhadap isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu melalui firma Tetuan David Gurupatham dan Koay.

Dalam pernyataan tuntutannya, firma itu mendakwa Rosmah yang juga pelanggan lamanya memaklumkan menerusi surat bertarikh 22 Mei telah menerima barangan kemas itu.

Pada Mei lalu, polis menyerbu dan merampas wang tunai dan barangan kemas dari dua unit kondominium mewah yang dikaitkan dengan Najib di Pavilion Residences di Kuala Lumpur.

Pada 4 Julai lalu, bekas perdana menteri itu mengaku tidak bersalah terhadap tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan dana yang melibatkan SRC International.

Global Royalty, menerusi memorandum bernombor 926 bertarikh 10 Feb tahun ini, telah menghantar 44 unit barangan kemas, termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, setiap satu bernilai antara AS$124,000 dan AS$925,000.

Firma itu berkata barangan kemas yang tidak dipilih akan dipulangkan.

Global Royalty mendakwa seperti pada tahun-tahun sebelumnya, firma itu akan menghantar barangan kemas kepada Rosmah mengikut permintaannya untuk dinilai dan dibeli serta dibayar olehnya atau oleh pihak ketiga.

Syarikat itu mendakwa ada kalanya, Rosmah akan meminjam barang kemas itu, dan dia atau ejennya akan menerima barangan berkenaan di Kuala Lumpur, Singapura atau Dubai.

Firma itu mendakwa bahawa memorandum penyerahan akan mengiringi hantaran barangan kemas yang menerangkan terma dan syarat.

Terma dan syarat memorandum itu termasuk penghantaran dan pemulangan barangan kemas, dan bahawa hak milik barangan berkenaan tetap dengan firma tersebut.

Dalam tuntutan itu, Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa mereka adalah pemilik sah 44 unit barangan kemas tersebut.

Firma itu juga memohon perintah mandatori supaya barangan berkenaan dikembalikan atau secara alternatif, jika ia tidak dapat dipulangkan, Rosmah wajar membayar jumlah yang dinyatakan berdasarkan nilai barangan kemas tersebut.

Pengurusan kes mengenai tuntutan itu akan diadakan pada Selasa.



























Beirut , Rosmah

Artikel Sebelum

Tun M tak pernah 'sentuh' gaji 29 tahun

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel