suria

Cecah usia 93 tahun, Tun M ada hajat besar!

PETALING JAYA: Siapa sangka Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia 93 tahun hari ini tapi masih lagi bertenaga seperti orang muda.

Pada usianya itu, beliau sepatutnya berehat bersama keluarga tetapi kembali menjadi perdana menteri buat kali kedua selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

Malah pada hari istimewanya hari ini, Dr Mahathir tetap melaksanakan tugas hariannya.

Beliau menyertai kira-kira 160 anggota pentadbiran kerajaan, termasuk jemaah menteri, mengikuti taklimat Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini Putrajaya.

Taklimat tertutup yang julung kali diadakan itu yang bermula pada pukul 9.30 pagi Selasa, turut disertai setiausaha politik serta hampir semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

Ketika ditanya mengenai hajatnya sempena ulang tahun kelahirannya, Dr Mahathir berkata beliau mahu memerangi gejala rasuah dalam institusi kerajaan hari ini.

Beliau dalam nada berseloroh turut meminta media supaya membantu beliau dalam menangani gelaja tersebut.

"Saya harap media boleh bantu kami tangani rasuah," katanya sambil disambut gelak tawa wartawan.

Ditanya mengenai cabaran yang dilalui dalam menangani rasuah hari ini berbanding ketika menjadi perdana menteri sebelum ini, Dr Mahathir berkata perbezaannya terlalu banyak.

"Beza banyak... dulu tak begitu banyak (rasuah). Masa saya jadi PM pada 1981, saya masuk keadaan jentera bersih. Ada la (rasuah) tapi tak begitu banyak," katanya.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata gejala rasuah dalam kerajaan pada hari ini semakin berleluasa dan perlu dibendung.

"Kita dapati kerana Datuk Seri Najib (bekas perdana menteri) mempromosikan rasuah, dia kata 'cash is king'... kita dapati habis jentera kerajaan pun terlibat.

"Dan kita nak kena pilih, nak kena tapis sebelum ambil tindakan. Kita tak boleh buang semua pegawai kerajaan yang kita suspek kerana demikian kita tak ada jentera nak tolong jalankan tugas dan arahan-arahan kita," katanya.

hajat, hari lahir, Tun M

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain