suria

Hari Lahir Ayah Paling Suram

Mahabob (kiri sekali).

PONTIAN: Tarikh 31 Januari setiap tahun, cukup istimewa buat keluarga nelayan Mahabob Hasimat, kerana pada hari tersebut anak-anak akan menyambut hari lahir ayah tersayang. 

Enam orang anak Mahabob bersama tujuh cucu akan berkumpul di rumah keluarga di Kampung Pulai Sebatang, untuk mengadakan jamuan makan bersama-sama. 

Suasana cukup meriah dengan gelak tawa dan keletah cucu yang masih kecil. 

Namun itu semua tinggal kenangan, kerana orang yang ditunggu-tunggu pulang selepas tujuh bulan ditahan di Indonesia kerana didakwa menceroboh perairan negara berkenaan, masih belum pulang. 

Anak sulung Mahabob, Nasarudin, 34 berkata, tiada sebarang persiapan hari lahir ayah yang lazimnya dilakukan di rumah pada hari ini, kerana masih bersedih dengan kejadian menimpa ayah yang menyebabkan mereka sekeluarga terpisah. 

Bagaimanapun, Nasarudin berkata dia dan adik- adik tetap merancang untuk mengadakan majlis doa selamat buat ayahnya apabila pulang ke tanah air kelak. 

Jelasnya, hanya perbualan telefon menjadi penghubung untuk mereka sekeluarga menyampaikan ucapan tarikh lahir untuk ayah yang kini ditahan di sebuah penjara Tanjung Pinang, Indonesia. 

"Pagi semalam (Selasa) ayah ada hubungi saya, untuk bertanya tentang perkembangan kesnya. Ayah masih mengajukan soalan yang sama iaitu bilakah dia akan dibebaskan?. 

"Saya minta ayah bersabar dan beritahu esok (hari ini) hari lahir ayah. 

"Ayah sangat sedih dan dia cerita tentang kami adik beradik berkumpul buat majlis makan makan pada hari lahirnya tahun lepas," katanya kepada Sinar Harian

Nasarudin berkata, setiap berbual melalui panggilan telefon, ayahnya tetap bertanya soalan yang sama dan mahu kementerian serta pemimpin di sini membantu dia untuk dibebaskan supaya dapat segera pulang ke Pontian. 

"Ayah memang harap segera dibebaskan. Dia terlalu rindukan keluarga dan kampung halaman di sini," katanya. 

Tambahnya lagi, dia setia menanti kepulangan ayah sebagaimana yang dikatakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sewaktu melawat keluarganya di Kampung Pulai Sebatang pada 21 Januari lalu. 

"Ketika melawat kami sekeluarga, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menjangkakan ayah bersama lima lagi nelayan Malaysia yang ditahan di Indonesia akan dibebaskan awal bulan Febuari ini. 

"Biarlah kali ini ia menjadi kenyataan kerana kami sekeluarga sudah cukup menunggu cukup lama," katanya. - Sinar Online

Artikel Berikut

Artikel Lain