suria

Ketahui Bahaya Pneumonia

PETALING JAYA: Sebut sahaja pneumonia atau radang paru-paru, ia cenderung dikaitkan dengan golongan tua atau mereka yang mempunyai sistem imunisasi yang lemah.

Namun bolehkah penyakit itu menyerang golongan muda dan mereka yang sihat?

Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan (Penyakit Berjangkit) Jabatan Perubatan Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Christopher Lee berkata organisma yang menyebabkan radang paru-paru boleh merebak dari seorang individu kepada individu yang lain.

“Organisma yang menyebabkan jangkitan boleh merebak. Ia secara umum berjangkit tetapi sesetengahnya lebih mudah merebak berbanding yang lain,” katanya.

Dr Lee berkata virus radang paru-paru seperti influenza, jangkitan respiratory syncytial virus (RSV), Sindrom Pernafasan Akut (SARS)  dan Sindrom  Pernafasa Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV), lebih mudah berjangkit.

RSV menyebabkan simptom yang sama seperti selesema.

Ia adalah perkara biasa, berjangkit dan kebanyakan kanak-kanak boleh dijangkiti seawal usia dua tahun.

Walaupun jangkitan RSV kebiasaannya tidak menjadi perkara serius, ia boleh menyebabkan radang paru-paru.

Sementara itu, SARS adalah bentuk penyakit radang paru-paru yang serius.

Dikenal pasti pada 2003, wabak itu dipercayai bermula apabila virus merebak dari mamalia kecil kepada manusia di China.

Dr Lee berkata selain radang paru-paru yang disebabkan virus, bakteria penyakit itu boleh dipindahkan kepada seorang individu kepada individu lain.

Katanya, radang paru-paru merupakan jangkitan paling kerap sehingga memerlukan mereka yang dijangkiti dimasukkan ke hospital kebanyakan di negara maju dan membangun.

“Terdapat juga kematian dan morbiditi yang signifikan serta peningkatan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan,” katanya.

Radang paru-paru lebih mudah menjangkiti mereka yang berusia 65 tahun ke atas terutama golongan yang sudah terdedah kepada penyakit jantung, paru-paru kronik, diabetes, kegagalan buah pinggang atau HIV.

Oleh itu, Dr Lee berkata golongan yang berada dalam kumpulan berisiko berkenaan  perlu mengambil langkah pencegahan terhadap bakteria dan virus.

Antara langkah pencegahan yang boleh diambil termasuk mendapatkan vaksin yang sesuai untuk jangkitan yang disebabkan influenza dan pneumococcus, mengamalkan kebersihan diri dan menjauhkan diri dari mereka yang mengalami jangkitan pernafasan.

pneumonia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain