suria

Sejuk Tak Berapa Tapi Hati Gundah Gulana

DISEMBER sudah hampir ke penghujungnya, dan begitu juga cuti panjang aku untuk tahun ini, bakal tiba juga ke titik penamat.

Sudah 20 hari aku meninggalkan bumi Doha, dan sampai waktu aku perlu kembali semula ke dataran padang pasir di sana. Aku kira sepanjang peninggalan aku, bumi Doha tenang diseliputi angin sejuk.

Perasaan berat hati meninggalkan negara dan keluarga tercinta sama sahaja ketika saat mula aku ke Doha tiga tahun dahulu.

Sesampai sahaja aku di Doha, terik matahari menyambut kedatangan. Angin sejuk manja yang selalu berkeliaran di bulan Disember hilang entah ke mana.

Rupanya, keadaan memang begini sepanjang Disember dan itu sedikit mengecewakan.

Setelah tiga hari - dalam suhu yang berbolak-balik antara 15 ke 18 darjah Celsius itu, musim sejuk kali ini agak hambar. Dengan ketiadaan hujan yang menjadi pembuka tirai musim sejuk seperti tahun-tahun sudah, ia menghampakan kami yang mendambakan kesejukan setelah hampir lapan bulan dalam bahang terik mentari.

Pagi Jumaat diselubungi kabus tebal. Kabus yang selalu ada ketika musim sejuk. Menjenguk kami seawal dua pagi dan kemudian menghilang sebelum tengahari.

Kegigilan yang mengcengkam sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja tidak sehebat seperti sebelumnya.

Baju sejuk tebal kekal di dalam almari tidak berpakai. Di sebalik kehambaran musim sejuk kali ini yang memancing bibir-bibir manusia di Doha mengadu, ada satu perkara yang agak menggugat kewujudan kami di sini.

Berita tidak enak tentang penutupan Salwa yang terletak di sempadan yang memisahkan antara Doha dan Arab Saudi. Ia ditutup secara kekal dan tentu tidak enak didengar.

Setakat ini belum ada apa-apa kesan signifikasi, tetapi sebarang kemungkinan mudah sahaja terjadi.

Apakah ini rentetan dari peristiwa pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Donald Trump? Atau juga sebagai tindak balas Arab Saudi terhadap kecaman yang diterima kerana ketidakhadiran mereka di persidangan OIC di Istanbul? Tidaklah dapat dipastikan.

Apa yang pasti, kami berdoa agar tidak ada sebarang perkara yang tidak elok berlaku.

Dalam keadaan sekatan negara-negara Arab terhadap Qatar masih berlangsung ini, harapnya segala masalah dapat diselesaikan secepat mungkin.

Selepas sahaja melepasi pondok pengawal, aku menuju terus ke bilik loker untuk meletak beg dan makanan. Seterusnya aku melangkah perlahan menuruni tangga untuk menuju ke stesyen kerja.

Sedang aku mengelamun itu, rupanya tanpa aku sedari ada satu tubuh hitam dan sasa berjalan di belakang aku dan,

BAP!

Satu tamparan pedih hinggap di belakang badan. Sakitnya tidak terkata, dan aku hampir melayang ke bawah.

Tangan keras dan berbulu yang menampar aku tadi mengcengkam erat lengan aku sekaligus mengelakkan aku daripada tersungkur.

Aku menoleh, terlihat Uresh mamat Sri Lanka yang pernah marah dengan aku kerana mendoakan dia gagal dalam ujian memandu dulu tersengih-sengih.

“Mr Iqbal, I miss you macha,” kata dia sambil tertawa kecil.

Nasib baiklah badan kau besar, kalau tidak mahu sahaja aku sekeh-sekehkan kepalanya. Inilah padah kalau kau cuti 20 hari. Hampeh betul!

Doha, Salwa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ketahui Bahaya Pneumonia

Artikel Lain