suria

Jangan Jadi Mangsa Curi Identiti

Gambar hiasan.
PETALING JAYA: Dia berkelakuan pelik apabila menambah semua kenalan di akaun baharu Facebooknya dan meminta wang daripada mereka.

Mendakwa kehilangan telefon, dia turut meminta nombor telefon semua orang.

Bagaimanapun bukan dia yang berkelakuan pelik itu.

Seorang eksekutif syarikat berumur 30an, Kam, menjadi mangsa pencuri identiti yang membuat akaun palsu menggunakan nama dan gambarnya.

Setelah membuat pemeriksaan di tetapan keselamatan Facebook, dia mendapati penjenayah siber itu berjaya mengakses akaun peribadinya.

"Mengikut rekod (history) di Facebook, terdapat peranti tidak dikenali mendaftar masuk ke akaun saya dari lokasi lain.

"Selepas menyedari ada sesuatu yang tidak kena, kawan-kawan terus menghubungi saya.

"Mereka juga berhenti membalas mesej di Facebook apabila dia mula meminta wang," ujar Kam.

Tambah Kam, dia terus menukar kata laluan Facebook selepas menyedari perkara tersebut.

Kam merupakan salah satu contoh kes kecurian identiti yang semakin berleluasa.

Insiden kecurian identiti yang mana maklumat peribadi mangsa dicuri dan diekspolitasi meningkat sebanyak 16 peratus daripada 220 kes pada 2015 kepada 255 kes pada tahun lalu.

Sebanyak 262 kes telah dilaporkan kepada CyberSecurity Malaysia (CSM) dari Januari hingga September tahun ini.

Nama penuh, nombor kad pengenalan, tarikh lahir, nombor akaun bank, alamat e-mel, nombor telefon, alamat rumah dan tempat kerja merupakan antara data yang sering dicuri.

Pencuri identiti akan menggunakan data tersebut untuk menyamar sebagai mangsa, membuat pinjaman, membeli barangan mewah, memalsukan kad kredit, membuat penipuan atas talian dan memindahkan wang daripada akaun yang disasarkan.

"Ada juga yang menggunakan data-data berkenaan untuk aktiviti di laman web 'gelap' bagi menyembunyikan identiti sebenar mereka," ujar Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab kepada The Star.

Katanya, maklumat peribadi mangsa turut dijual di pasaran gelap. 

Menurutnya lagi, pencuri identiti biasanya mencuri maklumat mangsa dengan membuat panggilan palsu dan juga dengan pendekatan kejuruteraan sosial.

"Mereka menyamar sebagai agensi penguatkuasa, syarikat telekomunikasi atau bank, dan mendakwa mangsa mempunyai isu yang perlu diselesaikan.

"Selepas itu mereka akan mengugut atau menakutkan mangsa bagi mendapatkan maklumat peribadi.

Menurut Amirudin, laman web yang menggunakan kata laluan mudah adalah yang paling berisiko untuk diakses oleh penjenayah siber.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan agar orang ramai mengurangkan perkongsian maklumat peribadi di media sosial.

Tambahnya lagi, pengguna seharusnya memantau siapa yang boleh melihat aktiviti mereka di laman sosial. 

"Tetapkan mod sulit (private) bagi akaun anda dan tambah kenalan yang dikenali sahaja," ujarnya.

Peningkatan kes sedemikian berlaku susulan dakwaan kecurian data melibatkan nombor telefon di Malaysia sebelum ini.

Insiden itu dilaporkan berlaku pada 2014 menerusi portal dalam talian lowyat.net.

Susulan kejadian melibatkan 46.2 juta nombor telefon itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dilaporkan telah berjumpa dengan syarikat telekomunikasi dan masih lagi menyiasat mengenai kes berkenaan.

Bagi mengelakkan kes sedemikian, pengguna dinasihatkan supaya menggunakan kata laluan berbeza bagi setiap akaun.

Mereka juga perlu mengaktifkan fungsi yang menambah lapisan keselamatan bagi melindungi akaun atas talian mereka.

SKMM

Artikel Sebelum

“Bukan Nak Lawan...”

Artikel Berikut

Artikel Lain