suria

Tugu ‘Maut’ Padah Merempit

Tugu 'pengajaran' yang menunjukkan bangkai motosikal yang terbabit dalam kemalangan sehingga penunggangnya yang merupakan bekas murid di SK Buloh Kasap maut di tempat kejadian pada 2011.

PETALING JAYA: “Buai laju-laju, sampai cucur atap, jangan pandu laju, nanti ibu meratap,” demikian pantun yang tertera pada tembok batu yang menempatkan bangkai motosikal yang terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Walaupun disampaikan secara santai, namun pantun tersebut sarat dengan mesej kesedaran yang menyentuh emosi bahawa pemanduan tidak berhemah boleh membawa maut dan kesannya ditanggung insan tersayang. 

‘Tugu pengajaran’ itu sebenarnya didirikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Buloh Kasap di Segamat, Johor sejak 2011, namun hanya tular di media sosial, baru-baru ini.

Bangkai motosikal tersebut ditunggang oleh bekas pelajar sekolah itu yang maut di Segamat pada 12 Jun 2011 akibat merempit. 

Guru Penolong Kanan 1 (Pentadbiran dan Kokurikulum) SK Buloh Kasap, Azizah Hashim berkata, ia merupakan inisiatif guru besar terdahulu bagi program 3K (keselamatan, kebersihan dan keceriaan).

“Ketika kejadian, pelajar tersebut menyambung pelajaran di sekolah menengah dan merupakan bekas murid SK Buloh Kasap,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Azizah berkata, kesinambungan daripada inisiatif itu, SK Buloh Kasap melaksanakan Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) yang bermula sejak Jun lalu.

'Jalan raya' di koridor bangunan SK Buloh Kasap.

Jelasnya, program tersebut memberi gambaran sebenar jalan raya di mana murid-murid dididik dengan kefahaman lebih jelas supaya mematuhi peraturan lalu lintas.

“Kalau kita hanya takutkan budak-budak (mengenai kemalangan), mungkin mereka tak faham sebab masih di peringkat sekolah rendah.

“Kita beri mereka kefahaman mengenai apa akan jadi sekiranya tidak mematuhi keselamatan jalan raya. Kita tunjukkan cara yang betul bagi mengelakkan kemalangan berlaku,” ujar Azizah.

Mengenai PKJR di sekolah, katanya, koridor bangunan dicat seperti jalan raya dengan dua lorong, mempunyai garisan putus-putus atau berganda di tengah-tengah.

“Kita mendidik murid-murid supaya berjalan mengikut lorong yang betul,” kata Azizah sambil menambah bahawa bulatan dan laluan pejalan kaki sedang dibina di kawasan sekolah.

Menurut Azizah, papan tanda jalan raya juga akan didirikan menggunakan empat bahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris, selain bahasa Cina serta Arab yang merupakan mata pelajaran elektif di sekolah itu.

Disebabkan hanya mereka yang berumur 16 tahun ke atas boleh memiliki lesen motosikal, Azizah berkata, murid-murid dilarang membawa motosikal ke sekolah.

“Walaupun di peringkat sekolah rendah, kesedaran mengenai keselamatan jalan raya seharusnya bermula di peringkat awal. Malah, mereka sebagai pejalan kaki juga perlu berhati-hati di jalan raya,” katanya. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain