suria

Keluarga Wanita Mati Dibunuh Mahu Pelaku Dikenakan Hukuman Setimpal

Gambar hiasan.

KOTA TINGGI: Keluarga wanita yang mayatnya ditemukan dalam keadaan tertiarap dan tangan diikat di sebuah kebun getah di Kampung Lukut, Batu Ampat, Isnin lepas mahu pelaku yang memperlakukan arwah sedemikian dikenakan hukuman setimpal.

Ibu saudara mangsa, Norliah Ibrahim, 61, berkata anak saudaranya, Rovina Mohd Sharif, 37, merupakan seorang yang peramah dan ibu kepada lima orang anak.

"Kali terakhir makcik berjumpa Rovina pada malam Sabtu 10 Disember kira-kira pukul 8 malam, arwah menumpang pakciknya untuk pulang ke rumah sewanya namun sebaik tiba di bandar, dia memaklumkan mahu berjumpa dengan rakannya," kata beliau ketika ditemui, di sini, Khamis.

Keesokan hari, katanya anak sulung Rovina yang berumur 17 tahun datang ke rumahnya memaklumkan ibunya tidak pulang ke rumah pada malam itu.

"Anaknya menyangka ibunya tidur di rumah makcik. Kami pun tidak berfikir apa-apa sehinggalah mengetahui berita tentang kematiannya yang membuatkan kami sangat terkejut," katanya.

Norliah berkata dia juga didatangi anggota polis yang memintanya hadir ke balai polis petang Selasa 13 Disember yang ketika itu dia tidak tahu anak saudaranya sudah meninggal.

Katanya dia menganggap arwah sebagai anaknya sendiri kerana dia telah menjaga anak saudaranya itu dari kecil sehingga mendirikan rumah tangga.

Menurutnya, arwah merupakan seorang janda selepas dua kali bercerai, dengan  empat anaknya kini tinggal bersama bekas suami, manakala anak sulungnya tinggal dengan arwah.

Norliah berkata mayat anak saudaranya itu masih berada di hospital dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam, dekat sini, selewatnya pada Jumaat. - BERNAMA

wanita maut, Kampung Lukut

Artikel Lain