suria

Wanita Maut, Kereta Rempuh Pokok Kelapa Sawit

Gambar hiasan.

KUANTAN: Seorang wanita pekerja kedai makan maut manakala kakaknya cedera apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh pokok kelapa sawit di jalan besar Jengka 22, Maran dekat sini, awal pagi Khamis.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Supt Mohd Noor Yusof Ali berkata pada kemalangan pukul 1.40 pagi itu, mangsa Sunarti Abdul Rani, 33, yang memandu kereta jenis Perodua Viva disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kakaknya, Rosmah, 36, yang patah tangan kiri dan kaki kanan serta cedera di seluruh badan dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh selepas menerima rawatan di Hospital Jengka, tambahnya.

"Kemalangan dipercayai berpunca apabila mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Krau, Temerloh ke Jengka 23 gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan merempuh pokok kelapa sawit di kiri jalan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Pada kejadian berasingan, Mohd Noor berkata seorang pelajar Kolej Komuniti Kuantan Amir Zafri Abdul Aziz, 18, maut selepas kereta yang dipandunya merempuh sebuah treler di Kilometer 41, Jalan Kuantan-Kemaman, di sini pada pukul 6.50 pagi Khamis.

Beliau berkata Amir Zafri yang beralamat di Taman Geliga 2, Kemaman dipercayai gagal mengawal kereta Perodua Kelisa menyebabkannya beliau memasuki laluan treler berkenaan yang dalam perjalanan dari Kuantan ke Kemaman.

"Kereta itu hilang kawalan sebelum berpusing dan pemandu treler tidak dapat menekan brek kerana jarak yang terlalu hampir. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala," katanya.

Mohd Noor menambah pemandu treler berusia 38 tahun tidak mengalami kecederaan.

Beliau menambah siasatan kedua-dua kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

kemalangan, rempuh pokok

Artikel Sebelum

Artikel Lain