suria

Dua Beradik Ditemui Lemas Di Sungai Balak

Pasukan bomba dan penyelamat mengangkat mayat dua beradik yang ditemui lemas di Sungai Balak, Kajang petang Khamis.

KUALA LUMPUR: Dua beradik lelaki lemas ketika mandi di Sungai Balak, di Kampung Simpang Balak, Kajang, dekat sini petang Khamis.

Mayat Muhammad Afizuddin Ahmad Tarmizi, 13, ditemui pasukan mencari dan menyelamat tersangkut dalam lumpur di dasar sungai pada pukul 5.42 petang, kira-kira 20 meter dari lokasi mereka dilaporkan hilang.

Kira-kira setengah jam kemudian, mayat adiknya, Ahmad Basri, 11, ditemui pasukan itu.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Othman Nanyan berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa ke sungai berkenaan bersama dua lagi rakan berusia 12 dan 13 tahun bagi memancing ikan sebelum dua beradik itu turun ke tebing sungai untuk mandi pada kira-kira pukul 3 petang.

"Semasa mandi, abang mangsa dipercayai lemas dan cuba diselamatkan adiknya. Namun kedua-dua mereka gagal untuk menyelamatkan diri sebelum tenggelam dibawa arus sungai," katanya.

Othman berkata mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk dibedah siasat. - BERNAMA

lemas, Sungai Balak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain