suria

Maklumat Lengkap Mudahkan Proses Bantuan Mualaf - NGO

Siti Hamisah Manan
PETALING JAYA: Bantuan khusus buat saudara baharu akan lebih cepat dan mudah diperolehi jika setiap mualaf mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan majlis agama Islam negeri.

Penolong Pengurus Pentadbiran Hidayah Centre Foundation, Siti Hamisah Manan berkata, syarat dan prosedur untuk mualaf mendapatkan bantuan adalah ringkas dan mudah, justeru hanya sedikit inisiatif diperlukan daripada mualaf kerana bantuan itu tidak akan datang dengan sendirinya.

"Kalau perlukan bantuan, buat betul-betul, nyatakan apa bantuan yang diperlukan, dokumen yang diperlukan dan kemudian bukti sokongan.

"Setakat yang kita tahu proses untuk dapatkan bantuan itu tak lama, paling lama pun sebulan.Yang penting borang diisi lengkap supaya ia tidak dipulangkan untuk diisi semula," katanya kepada mStar Online.

Menurut Siti Hamisah, di Selangor dan Kuala Lumpur sahaja terdapat banyak NGO yang bertindak sebagai pusat sokongan dan membantu menjaga kebajikan saudara baru.

Hidayah Centre juga menjadi salah sebuah daripada lima NGO di Selangor yang diberi tauliah oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk melakukan pengislaman.

Kebanyakan NGO ini menjalinkan kerjasama dengan Mais dan memainkan peranan sebagai orang tengah bagi mempermudahkan mualaf untuk mendapatkan bantuan daripada wang zakat.

Mengenai kes saudara baharu mendakwa tidak mendapat maklumat berkaitan bantuan atau kes permohonan sukar mendapat kelulusan, beliau mengakui ia berlaku tetapi melihatnya sebagai 'kes-kes terpencil dan terlepas pandang'.

Di Selangor, katanya, isu ini tidak akan timbul jika seseorang yang memeluk Islam itu mengikuti kursus asas selama empat hari tiga malam yang diwajibkan oleh Mais. Kursus ini diadakan di Bait as-Salam di Jalan Kebun, Klang.

Katanya, dengan menghadiri kursus itu, mereka secara tidak langsung akan mendapat maklumat dan penerangan khas tentang bantuan yang boleh dipohon, selain dapat mendalami ilmu agama.

"Apa yang berlaku sekarang, mereka mahu duit atau bantuan tapi tak mahu ikut kursus, tak mahu pergi kelas mendalami Islam.

"Setakat yang kita uruskan, mereka yang mengikuti kursus dan kelas di bawah Mais secara konsisten memang mudah dapat bantuan," katanya.

Beliau berkata, bermula 2015 Mais telah mewajibkan semua individu yang memeluk Islam di Selangor untuk mengikuti kursus asas, kursus lanjutan dan beberapa lagi kategori kursus untuk memantapkan kefahaman mereka tentang Islam.

Jelasnya, mengikut syarat Mais, apabila seseorang itu memeluk islam, surat pengislaman akan dikeluarkan dan mereka diwajibkan pergi kursus, sebelum diberikan kad mualaf.

"Kursus ini wajib tapi ada pengecualianlah. Contohnya mereka yang uzur, terlalu sibuk atau berkerja di luar negara...mereka akan terus diberikan kad mualaf itu," katanya.

Mengulas tentang kesukaran mendapatkan bantuan atau bantuan ditolak, beliau berkata masalah ini boleh dielakkan jika butiran dan dokumen lengkap diberikan.

Katanya, walaupun penilaian dibuat oleh Mais sebelum meluluskan sesuatu permohonan, NGO tidak lepas tangan sebaliknya membantu mencari punca ia ditolak atau membuat membuat siasatan kes sebelum permohonan dihantar.

Beliau menambah, berdasarkan pengalaman membantu mualaf, kes yang kerap diterima adalah mualaf dibuang keluarga dan dibuang kerja.

"Bila dapat aduan macam tu, kita selidik dulu kebenarannya, pastikan kes itu sahih.

"Selepas siasat dan kes ini dibawa oleh NGO, majlis agama Islam tahu bahawa kes ini betul-betul berlaku. Setakat ini semua yang diuruskan Mais memang dapat bantuan," katanya.

Kepada mualaf yang telah mendapat bantuan atau ingin memohon bantuan, beliau menasihatkan mereka supaya sering berusaha untuk meningkatkan diri dari segi ilmu agama dan pekerjaan bagi meneruskan kehidupan baru sebagai orang Islam.

"Ada banyak institusi dan saluran untuk dapatkan bantuan, tak salah memohon jika bermasalah, hak mereka untuk memohon tapi dalam masa sama kenalah tingkatkan diri.

"Kalau sekadar bergantung kepada bantuan, hidup mereka tak ke mana. Bantuan pun tak selamanya, bantuan bukan gaji," katanya.

Beliau berkata, tempoh lima tahun untuk mualaf layak mendapat bantuan adalah tempoh yang sesuai untuk mereka keluar daripada kebergantungan duit zakat.

Artikel Lain