POLIS menahan seorang lelaki selepas mayat teman wanitanya ditemukan di flat miliknya pada 1 Disember lalu.
Menurut polis, pada mulanya satu laporan dibuat oleh lelaki dikenali sebagai Saiyon, 58, yang bimbang kerana gagal menghubungi anak perempuannya selama hampir dua minggu.
Saiyon memaklumkan bahawa anaknya, Irin, tinggal bersama teman lelaki, Thanathan, 34, di flat Eua Arthorn Koobon 27 di Tha Raeng, Bangkok, Thailand.
Saiyon memberitahu dia telah pergi ke flat berkenaan dan mengetuk pintu, namun tiada jawapan.
Seorang jiran turut memaklumkannya terdapat bau busuk dari arah unit itu.
Bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini, Saiyon segera menghubungi polis untuk bantuan.
Apabila polis tiba, Thanathan akhirnya membuka pintu sebelum ditahan.
Pemeriksaan di dalam flat membawa kepada penemuan mayat Irin di bilik tidur dalam keadaan berselimut.
Thanathan mengaku telah mencederakan Irin sehingga menyebabkan kematiannya pada 16 November lalu.
Suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut, manakala mayat Irin telah dihantar untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian sebelum siasatan penuh diteruskan. -Agensi


