suria

Pemuda curah air mendidih ketika teman wanita tidur... Mahu wajahnya hodoh, tak didekati lelaki lain

Wajah wanita yang masih cedera selepas disimbah air panas oleh teman lelakinya. -Foto Facebook

SEORANG lelaki didakwa mencurah air panas mendidih ke atas kekasihnya, seorang warga Thailand dalam cubaan mencederakan dan mencacatkan wajah wanita itu gara-gara cemburu.

Mangsa tampil membuat pendedahan di sebuah kumpulan Facebook komuniti rakyat Thailand pada Rabu, meminta khidmat penterjemahan percuma bagi membolehkannya membuat laporan polis. 

Wanita itu mendakwa diserang teman lelakinya, warga Korea Selatan dan memerlukan bantuan untuk berkomunikasi dengan pihak berkuasa tempatan.

Seorang penterjemah Thailand kemudian tampil membantu, menterjemahkan keterangannya kepada pegawai polis dan menghubungkannya dengan agensi undang-undang bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.

Menurut perkongsian rakan mangsa, kejadian berlaku di Korea Selatan ketika wanita itu sedang tidur dengan lelaki berkenaan didakwa mencurah air panas terus ke wajahnya.

Suspek kemudian memohon maaf dan membawa mangsa ke hospital.

Wanita itu bersetuju mendapatkan rawatan bersamanya kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk melakukannya sendiri.

Lelaki itu kemudian dilaporkan mengaku sengaja mencederakannya kerana mahu mangsa kelihatan hodoh dan tidak meninggalkannya untuk lelaki lain.

Dia turut merayu supaya hubungan mereka diteruskan.

Bagaimanapun, mangsa menolak permintaan itu dan enggan berkomunikasi lagi dengannya, kecuali melalui peguam atau pihak polis.

Gambar yang dikongsi penterjemah menunjukkan wajah mangsa berbalut sepenuhnya kecuali bahagian mata dan mulut.-Agensi

Artikel Lain