RASA bersalah serta betapa kecewanya masih lagi menyelubungi penyanyi dan pelakon terkenal, Safura Yaacob, apabila mengenang kembali perbuatannya terhadap arwah ibu bapa ketika melalui episod hitam perkahwinan pertamanya.
Menurut Safura, 53, kesilapan terbesar dalam hidupnya adalah ketika memilih untuk berkahwin dengan lelaki yang salah sehingga menyebabkan dia menjauhkan diri daripada ibu bapanya sendiri.
“Perkahwinan pertama saya banyak melukakan hati ibu bapa kerana saya berkahwin dengan orang yang salah. Bukan kerana mereka melarang, tetapi saya sendiri yang meninggalkan mereka disebabkan lelaki itu,” katanya ketika menjadi tetamu podcast Borak Selebriti Sinar yang dimuat naik di saluran YouTube.

Safura tak dapat menahan sebak ketika mengimbau kenangan lalu.
Menurut Safura, dia meninggalkan ibu bapanya selama hampir lima hingga enam tahun, malah tidak pernah pulang ke kampung halaman selama tempoh itu.
“Kakak saya pernah cerita bahawa setiap kali terdengar orang pulang, mereka menyangka saya yang balik,” ujarnya dengan linangan air mata.
Tambah Safura, akibat perbuatannya itu, dia seringkali merasakan ujian hidup yang diterimanya seolah-olah menjadi satu bentuk teguran daripada Allah SWT.
Jelasnya, perkahwinan pertamanya bukan sahaja gagal, malah diuji hebat apabila bekas suaminya itu berkahwin lain dan memadukannya ketika dia sedang hamil.
ARTIKEL BERKAITAN: Perkahwinan 20 tahun pernah hampir ‘tersadung’, tiga jam Safura Yaacob menangis mengenang kisah duka
ARTIKEL BERKAITAN: Tak boleh lasak selepas pembedahan, Shahronizam terpaksa tidur mengiring elak sakit... Reda menanti keputusan biopsi
“Kadang-kadang saya terfikir, mungkin sebab itulah Allah ambil anak saya kerana saya banyak berdosa dengan mak dan abah. Saya terima segala balasan itu.
“Saya hidup dalam keadaan terseksa semasa perkahwinan pertama dan sangat menyakitkan, tetapi saya reda kerana saya rasa itu semua akibat dosa saya terhadap ibu bapa," luahnya.
Dia turut mengakui kisah perkahwinan pertamanya merupakan pengalaman paling memeritkan dalam hidupnya selain masih meninggalkan luka di hati walaupun sudah lama berlalu.

Safura bersama suaminya yang sekarang Shahronizam.
“Kalau saya ceritakan tentang perkahwinan pertama itu, memang sangat melukakan jiwa,” tambahnya.
Safura kini bahagia melayari bahtera rumah tangga bersama pelakon Sahronizam Noor sejak 2016 dan memiliki empat cahaya mata bersama.
Namun seorang anak mereka iaitu Allahyarham Nur Aisyah Mariam meninggal dunia pada usia tiga tahun.
Sebelum itu, Safura pernah berkahwin sebanyak dua kali dan mempunyai dua cahaya mata daripada perkahwinan terdahulu, Nurul Natasha Abdul Rani dan Muhammad Daniel Khaqim Mohd Khairi.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


