PELAKON Shahronizam memberitahu pergerakan tangan kanannya masih terbatas dalam melakukan rutin harian selepas menjalani pembedahan membuang tumor pada bahu kanan Oktober lalu.
Menurut Shahronizam, 53, penggunaan tangan kanan dalam tempoh yang lama menyebabkan bahagian tersebut kembali sakit selain tidak digalakkan melakukan kerja berat.
"Dua hari lepas saya buat kerja rumah macam angkat barang terlupa yang saya masih sakit, jadi sekarang ini sakit semula.
"Mungkin kesan pada tulang atau pembedahan, wallahualam kena periksa balik. Tapi sebelum itu, selepas pembedahan memang tak ada lagi rasa sakit tumor yang berdenyut.

Pergerakan Shahronizam kini semakin terbatas.
"Yang tinggal cuma sakit luka. Dua hari ini saya terpaksa makan ubat tahan sakit sebab terlebih buat kerja," katanya kepada mStar.
Shahronizam ditemui ketika program Ziarah Prihatin Seniman 2025 di kediamannya pada petang Selasa.
Tambahnya, dia kini hanya boleh tidur dalam keadaan mengiring selain memandu menggunakan sebelah tangan bagi mengelakkan rasa sakit pada bahagian tersebut.
"Saya hanya boleh tidur dalam posisi mengiring. Tak boleh lasak. Sekarang saya masih boleh pandu kereta tapi sebelah tangan.
ARTIKEL BERKAITAN: Shahronizam hidap tumor, reda jika disahkan kanser... Tetap kerja walau sakit
ARTIKEL BERKAITAN: Ketumbuhan pada tulang belikat makin membesar, Shahronizam jalani pembedahan tumor hari ini
"Tangan kanan tak kuat sangat sebab kawasan pembedahan agak besar daripada bahu sampai tulang selangka, bahagian itu dipotong," katanya lagi.
Berkongsi lebih lanjut, Shahronizam berkata dia sedang menunggu keputusan biopsi yang dijadualkan akan diterima pada 27 November nanti.
Katanya, sekiranya keputusan tidak seperti diharapkan dia reda dan akan menjalani rawatan seperti yang disarankan doktor.
"Kalau keputusan tak cantik, mungkin saya perlu buat rawatan radioterapi pada akhir November atau awal Disember. Walaupun tumor sudah dibuang, akarnya masih ada dan ikut jenis tumor. Doktor tak berani buat keputusan sehingga laporan penuh daripada unit onkologi.
Saya hanya boleh tidur dalam posisi mengiring. Tak boleh lasak.
SHAHRONIZAM
PELAKON
"Radioterapi hanya boleh dibuat selepas luka pembedahan pulih sepenuhnya. Radioterapi bergantung pada keputusan onkologi nanti. Doktor ortopedik kata kemoterapi tidak termasuk dalam perancangan buat masa ini harap-harap begitulah, insya-Allah.
"Tapi apapun keputusannya saya reda sahaja. Apa yang datang, kita hadap. Hidup dan mati semua di tangan Allah," luahnya.
Sementara itu, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) terus prihatin dengan nasib anak seni yang memerlukan bantuan.
Menurut Presidennya, Zed Zaidi, bantuan yang dihulur hari ini bukan hanya daripada pihak Seniman tetapi ihsan daripada penerbit D'Ayu Pictures Sdn. Bhd. iaitu Datuk Rosmarayu Mokhtar.
Turut memberi sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad atau lebih dikenali sebagai Altimet.

Zed (kanan) melawat Shahronizam menerusi program Ziarah Prihatin Seniman 2025.
"Alhamdulillah syukur hari ini Seniman, D' Ayu Pictures dan wakil ADUN Lembah Jaya iaitu Altimet hadir menghulurkan sedikit sumbangan ikhlas untuk Shahronizam yang kita semua tahu ketika ini mempunyai masalah kesihatan.
"Mungkin bukan sumbangan besar tetapi sekurang-kurangnya dapat kurangkan sedikit beban dia untuk membeli ubat-ubatan dan sebagainya," kongsinya.
Sebelum ini, Shahronizam terpaksa menjalani pembedahan selepas mengalami ketumbuhan pada tulang belikat atau ligmen skapula.
Prosedur itu terpaksa dilakukan selepas mendapat nasihat doktor disebabkan tumor yang semakin membesar.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


