suria

Ketumbuhan pada tulang belikat makin membesar, Shahronizam jalani pembedahan tumor hari ini

Shahronizam jalani pembedahan bagi membuang tumor pada bahagian tulang belikat. FOTO: Instagram Azhan Rani.

PELAKON Shahronizam Noor terpaksa menjalani pembedahan selepas mengalami ketumbuhan pada bahagian tulang belikat atau ligamen skapula. 

Perkara itu dimaklumkan isterinya iaitu penyanyi dan aktres Safura Ya'cob yang memberitahu prosedur tersebut perlu dilakukan selepas mendapat nasihat doktor disebabkan tumor yang semakin membesar. 

"Sejak dua bulan lalu kami sudah dapat tahu tentang ketumbuhan ini dan selepas melakukan pemeriksaan bersama doktor pakar, suami dinasihatkan untuk jalani pembedahan. 

Safura sebelum ini berkongsi masalah tumor yang dihidapi suaminya. 

"Ketumbuhan itu semakin membesar kira-kira 8 sentimeter. Ia juga telah menghimpit bahagian tulang rusuk. Pembedahan ini untuk buang bahagian tulang yang terlibat, mungkin juga tulang rusuk," katanya kepada mStar. 

Safura ketika dihubungi pada pagi Rabu memberitahu Shahronizam masih berada di dalam bilik pembedahan dan prosedur tersebut dijangka memakan masa selama enam jam. 

Shahronizam sebelum itu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin bagi pemantauan sebelum proses bedah. 

ARTIKEL BERKAITAN: Shahronizam hidap tumor, reda jika disahkan kanser... Tetap kerja walau sakit 

ARTIKEL BERKAITAN: Shahronizam Noor fobia potong ayam, risau hilang ibu jari pula... Rancang mohon kad OKU

Menurut Safura, dia juga belum dapat mengesahkan sama ada ketumbuhan tersebut adalah kanser. 

Katanya, keadaan tangan kanan Shahronizam kemungkinan tidak akan sihat seperti normal dalam masa terdekat. 

"Tangannya mungkin tidak lagi normal seperti biasa. Separuh tulang telah dibuang jadi mungkin tidak lagi kuat. 

"Setakat ini belum dipastikan kanser atau tidak. Bahagian yang dipotong itu akan dihantar ke makmal untuk ujian. Saya harap tidak akan ada masalah kanser," luahnya. 

Shahronizam tetap ceria bertemu rakan-rakan artis. 

Katanya lagi, Shahronizam reda dan tenang berdepan ujian itu, malah sentiasa ceria setiap kali bertemu rakan-rakan. 

Malah dia juga berharap akan kembali pulih dengan segara agar dapat bekerja seperi biasa. 

"Apabila kawan-kawan datang melawat dia boleh gelak dan tersenyum sedangkan dia sebenarnya menahan sakit. 

"Dia seorang yang tenang. Dia harap dapat kembali bekerja mencari rezeki untuk anak-anak. Allah telah beri kesihatan dan dia reda dengan sakit ini," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain