PELAKON Razak Ahmad dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-66 Sultan Pahang pada Selasa.
Razak, 58, menzahirkan rasa syukur dengan penganugerahan gelaran Datuk diterima yang disifatkan satu amanah sebagai anak seni.
"Penganugerahan ini bukan sekadar satu pengiktirafan peribadi, tetapi juga satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh integriti, tanggungjawab dan dedikasi.
"Saya menerima gelaran ini sebagai dorongan untuk terus menyumbang kepada agama, bangsa, dan negara dengan lebih tekun dan ikhlas," katanya.

Razak turut menyampaikan penghargaan buat semua yang memberi sokongan.
Razak menulis perkara tersebut dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook miliknya.
Razak merupakan antara 50 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang yang berlangsung di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang pada Selesa.
Razak merupakan salah seorang daripada 19 penerima pingat sama dalam majlis berkenaan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan buat orang sekeliling yang sentiasa menjadi penyokong terhadap perjalanan kerjaya seni.
ARTIKEL BERKAITAN: Imuda kini bergelar Datuk, rai kerjaya seni selepas 40 tahun
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza kekal penyanyi nombor 1 Malaysia, diangkat Legenda Muzik Asia Tenggara
"Tiada kejayaan yang datang tanpa kerjasama, kepercayaan dan kasih sayang dari insan-insan yang hebat di sekeliling saya.
"Semoga saya terus diberikan kekuatan, kebijaksanaan dan keikhlasan dalam memikul tanggungjawab ini dengan baik," luahnya.
Untuk info, Razak merupakan anak kelahiran Pahang dan mula menceburi bidang seni sebagai pelakon dan penyanyi bermula 1985.
Beliau pernah membintangi filem seperti Embun, Senario Dalam Pemburu Emas Yamashita, Salam Cinta. Suami Aku Ustaz, Keluarga Iskandar The Movie, Budak Flat, Mak dan banyak lagi.
Manakala dalam drama pula, Razak pernah membintangi Gila-Gila Pengantin, Abadi Sebuah Cinta, Hikayat Putera Shazlan, Geng Surau, Keluarga Baha Don, Ayat-Ayat Halal, Teguh dan banyak lagi.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


