PENYANYI duo, AishaHanim, melangkah setapak lagi dalam perjalanan seni mereka apabila berpeluang bekerjasama dengan komposer dari Indonesia, Ade Govinda, bagi penghasilan single terbaharu.
Rakaman lagu tersebut berlangsung di Studio 909, Jakarta, Indonesia, dan dijangka dilancarkan pada tahun hadapan, sekali gus membuka peluang lebih luas buat AishaHanim menembusi pasaran muzik serantau.
Berkongsi pengalaman manis itu, AishaHanim berkata mereka amat teruja kerana impian untuk berkolaborasi dengan Ade akhirnya menjadi kenyataan.

AishaHanim teruja dapat bekerjasama dengan Ade.
“Kami memang sudah lama memasang niat untuk bekerjasama dengan Ade Govinda.
“Alhamdulillah proses rakaman sangat mudah, lancar dan menyeronokkan. Ia juga pengalaman baharu yang cukup berharga kerana ini kali pertama kami merakamkan lagu di Indonesia.
“Banyak perkara yang menginspirasikan kami untuk terus berkarya,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Duo terbaik! Jom layan persembahan akustik AishaHanim menerusi lagu ‘Raya Rumah Terbuka’
ARTIKEL BERKAITAN: Kredibiliti menyanyi secara live dipertikai, AishaHanim anjur mini konsert
Menurut duo itu lagi, kolaborasi tersebut menjadi langkah penting dalam usaha mereka meneroka muzik yang lebih luas dan bermakna.
“Doakan yang terbaik untuk kami. Semoga lagu ini membawa kegembiraan dan membuat pendengar merasai setiap bait cinta yang ingin kami sampaikan,” ujarnya.
Peminat di Malaysia dan Indonesia kini boleh menantikan single terbaru AishaHanim yang dijangka menampilkan sisi baharu duo tersebut.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


