PENYANYI dan pelakon Safura Yaacob meluahkan rasa syukur apabila rumah tangganya bersama pelakon Shahronizam Noor kekal utuh selama 20 tahun meskipun berdepan pelbagai dugaan.
Safura, 53, mengakui kekuatan hubungan mereka banyak terbina hasil doa arwah ibunya dan ibu mentua, malah dia tidak menafikan perkahwinannya bersama Shahronizam pernah melalui fasa sukar dan hampir runtuh.
Kata Safura, kisah itu kembali segar dalam ingatannya selepas menerima kiriman lagu Seadanya Aku nyanyian KomTua daripada suaminya baru-baru ini.

Safura tersentuh terima lagu daripada suami.
Menurut ibu kepada enam anak itu, lirik lagu dari Indonesia tersebut sangat dekat dengan perjalanan hidupnya sebagai isteri selama dua dekad.
“Dalam lagu itu ada lirik ‘dengan langkahku yang sering tersadung waktu’. Memang sepanjang berkahwin, dia pernah beberapa kali tersadung. Tetapi saya tetap memilih untuk memaafkan.
"Dia hantar lagu itu sewaktu di hospital dan saya pula ada kerja di Ipoh, Perak. Jadi ketika dia hantar lagu itu memang bersungguh-sungguh saya menangis, hampir tiga jam juga saya menangis mengenang sedih duka gembira sepanjang kami bersama," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak boleh lasak selepas pembedahan, Shahronizam terpaksa tidur mengiring elak sakit... Reda menanti keputusan biopsi
ARTIKEL BERKAITAN: Ketumbuhan pada tulang belikat makin membesar, Shahronizam jalani pembedahan tumor hari ini
Tambah Safura, dia dan suami sememangnya jarang berkongsi luahan hati namun saling bertukar lagu antara cara mereka meluahkan rasa.
"Nak mendapatkan bahagia itu mahal, macam-macam proses yang kami lalui untuk capai 20 tahun itu.
"Dalam tempoh itu, kami jarang bercakap soal hati, kalau saya terluka atau dia terluka dengan saya memang kami pilih meluahkan perasaan itu melalui lagu," katanya lagi.
Tambah Safura, dia bagaimanapun sudah reda dengan dugaan yang dilalui pada awal perkahwinan sehingga wujudnya kebahagiaan yang diperolehi hari ini.
Saya reda dengan apa yang berlaku pada suami.
SAFURA
PENYANYI/PELAKON
Justeru dia tidak lagi menyalahkan suami sepenuhnya dengan apa yang berlaku, sebaliknya meletakkan juga kesalahan kepada diri sendiri yang mungkin tidak menjadi isteri yang sempurna.
Jelasnya ketika itu dia pernah meninggalkan suami selama dua bulan selain menuduh Shahronizam menjadi punca anak mereka Allahyarham Nur Aisyah Maryam meninggal dunia kerana balasan Allah di atas kekhilafannya.
Namun ketika bahagia mula dirasai, Safura berkata dia tidak sangka mereka diduga pula dengan kesakitan suaminya yang mengalami tumor di belakang badan.

Safura pegang pesanan arwah ibu.
"Saya reda dengan apa yang berlaku pada suami. Dia pun bukannya manusia yang sempurna. Mungkin dia buat perkara di luar jangkaan, mengkhianati rumah tangga kami pun sebab saya juga. Mungkin saya silap sebagai isteri, kita pun tak boleh salahkan suami kenapa dia beralih kepada orang lain , saya pun kena akur waktu itu kami muda, dia pun artis dan ada peminat.
"Mungkin adalah juga silap saya. Arwah mak pernah cakap, sampai bila saya nak lari daripada masalah? Takkan kali ini pun nak bercerai juga, nanti orang akan pandang saya macam mana? Di mana maruah saya sebagai seorang perempuan.
"Bila mak dah tak ada dan saya fikir-fikir semula apa yang mak kata, memang betul pun. Tak semua lelaki sempurna. Lagipun saya dah melalui dua kegagalan dalam perkahwinan, saya sedih dua anak sebelum ini tak cukup kasih sayang bapa, jadi saya tak mahu anak bersama dia juga lalui benda sama.

Safura reda dengan segala ujian dalam rumah tangga.
"Tapi Alhamdulillah berkat nasihat dan doa mak dan ibu mertua saya reda. Rumah tangga itu menjadi lebih barakah," tambahnya.
Untuk rekod Sahronizam dan Safura mendirikan rumah tangga pada 2005 dan dikurniakan empat anak iaitu Yusoff Firdaus, Zara Nur Aisyah, Ariana Sofia dan Allahyarham Nur Aisyah Mariam.
Sebelum itu, Safura pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali dan mempunyai dua cahaya mata lain iaitu Nurul Natasha Abdul Rani dan Muhammad Daniel Khaqim Mohd Khairi
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


