suria

Dilema Antara Harga Rokok Naik Dan Larangan Cecair Nikotin Vape

PETALING JAYA: Perokok yang cuba menghentikan tabiat itu dengan beralih kepada rokok elektronik atau 'vape' dalam dilema antara kenaikan harga rokok dan nikotin bakal dilarang di dalam cecair vape.

Mereka melihat menghisap vape lebih selamat kerana tidak perlu menghidu asap dan tar yang menyebabkan kanser tetapi masih mahu 'merasai' nikotin di mana Kementerian Kesihatan merancang untuk melarang penggunaan bahan itu dalam cecair vape.

Sementara itu, satu pek rokok yang sebelum ini berharga RM13.80 kini meningkat kepada RM17 selepas kenaikan eksais rokok oleh kerajaan.

Golongan bukan perokok percaya perokok boleh melakukan lebih dengan RM17 seperti membeli makanan atau keperluan lain.

Bino Nga, 47, yang bekerja sendiri berkata, dia sebelum ini menghisap sehingga satu pek sehari selama 25 tahun dan vape membantunya untuk mengurangkan tabiat itu.

Dia menggunakan vape untuk menghentikan tabiat merokoknya secara beransur-ansur dan merancang untuk berhenti merokok sepenuhnya dalam tempoh tiga sehingga enam bulan.

Nga bimbang sekiranya nikotin dilarang di dalam cecair vape, hasratnya untuk berhenti merokok mungkin tidak kesampaian.

"Tampalan nikotin dan gula-gula getah tidak membantu saya. Hanya vape dapat membantu," katanya.

Jika terpaksa kembali merokok, katanya, dia tidak mempunyai pilihan lain tetapi perlu mencari rokok dengan harga lebih murah.

"Atau saya mungkin akan buat rokok sendiri," katanya memandangkan pembelian tembakau dan kertas gulung adalah lebih murah berbanding pek rokok.

"Tetapi dengan menghisap vape, saya berharap untuk berhenti merokok sama sekali," tambahnya.

Penulis, Ken Goh, 26, berharap kerajaan menyedari perbezaan antara rokok elektronik dan vape.

"Nikotin yang terkandung dalam rokok elektronik adalah racun dan berbahaya," katanya dengan melihat vape hanya melibatkan wap berperisa melainkan nikotin dicampurkan dengan cecair. 

"Langkah kerajaan untuk mengawal rokok elektronik menggunakan undang-undang merupakan sesuatu yang positif."

Goh berkata, penjualan nikotin yang dicampur dalam cecair vape adalah menyalahi undang-undang di Australia semasa dia melanjutkan pengajian di negara itu.

Dia pernah menjadi seorang perokok suatu ketika dahulu sehingga tabiatnya itu menyebabkan dia merasa saki di bahagian dada satu setengah tahun lalu.

"Malah saya mengalami kesukaran untuk bernafas," tambahnya.

Bagaimanapun dia kini tidak lagi mengalami masalah berkenaan sejak berhenti merokok dan mula menghisap vape.

Katanya, dia masih mahu menikmati nikotin tetapi cecair berperisa di dalam vape membantinya untuk melupakan tentang merokok.

Goh menyokong sebarang langkah untuk mengenakan peraturan dalam industri vape kerana ia bertujuan untuk keselamatan bagi pengguna vape, terutama melibatkan kandungan cecair yang digunakan.

Omar, 29, berkata, vape membantunya melupakan tabiat 'menghisap' nikotin.

Dia beralih kepada vape kira-kira dua tahun lalu dan mengurangkan bilangan nikotin di dalam cecair berkenaan secara beransur-ansur sehingga dia berhenti menggunakan bahan itu.

Pembekal rokok elektronik berkata, dia mengeluarkan antara 2,000 sehingga 3,000 botol cecair vape sebulan di rumahnya.

Sebahagian produk tersebut mengandungi nikotin tetapi kira-kira 80 peratus daripadanya tidak mengandungi bahan itu.

Beliau berkata, dia menggunakan pewarna dan perisa makanan untuk cecair vape.

Katanya, jika nikotin dilarang sebagai kandungan dalam vape, dia mungkin akan menjalankan perniagaannya secara bersembunyi berikutan terdapat permintaan terhadap bahan itu daripada pengguna vape yang cuba untuk berhenti merokok.

Seorang lagi pengguna vape yang enggan dikenali berkata, dia sebelum ini membelanjakan lebih RM800 untuk membeli rokok sebulan tetapi vape hanya melibatkan kos kira-kira RM250.

Pakar Berhenti Merokok di Universiti Malaya, Dr Amer Siddiq Amer Nordin berkata, kenaikan harga rokok amat ditunggu-tunggu oleh semua pihak dalam pengawalan tembakau.

Beliau berkata, mereka bimbang kerajaan melupakan tanggungjawabnya yang menandatangani Konvensyen Rangka Kerja Mengenai Kawalan Tembakau.

"Kita berharap Malaysia akan menggunapakai pendekatan lebih sistematik terhadap percukaian seperti di New Zealand sebagai contoh di mana terdapat kenaikan yang konsisten setiap tahun," katanya.

Dr Amer turut menyokong rancangan Kementerian Kesihatan untuk merampas cecair vape yang mengandungi nikotin.

"Nikotin tidak seharusnya dijual seperti komoditi biasa. Ia sepatutnya dianggap sebagai racun dan perlu dikenakan peraturan yang sama seperti racun-racun lain," katanya.

rokok, vape

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain