suria

Bekas Ratu Cantik Tidak Boleh Tuntut Perlindungan

Pauline Chai

PUTRAJAYA: Bekas ratu cantik Malaysia 1969, Pauline Chai Siew Phin tidak menerima perlindungan diskriminasi jantina yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan kerana dia tidak lagi menjadi warganegara Malaysia.

Perkara ini dimaklumkan menerusi rayuan Chai terhadap suatu perintah yang memihak kepada suaminya, jutawan Tan Sri Khoo Kay Peng agar kes perceraian mereka  didengar di Malaysia.

Mahkamah Tinggi membenarkan cubaan Khoo pada tahun lepas untuk dikecualikan daripada suatu badan pendamai sebelum perceraian.

Pada Khamis peguam utama Khoo, Datuk Dr Cyrus Das memberitahu mahkamah rayuan bahawa Chai melepaskan kerakyatan Malaysia pada November tahun lalu yang menyebabkan dia kehilangan manfaat seperti perlindungan.

Beliau berkata dua peruntukan dalam Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian), 1976 yang dikuatkuasakan Mac 1982 mengiktiraf bahawa pergantungan tempat bermastautin isteri bergantung kepada suaminya.

"Hakikat bahawa Parlimen tidak memperkenalkan peruntukan perundangan untuk menghapuskan peraturan undang-undang biasa mengenai pergantungan tempat bermastautin isteri apabila menggubal Akta Pembaharuan Undang-undang.

"Jadi ia mencerminkan dasar berkanun jelas bahawa ia masih terus terpakai di negara ini," kata Das.

Tambah beliau Suruhanjaya Diraja mengenai Pembaharuan Perkahwinan bagi Bukan Islam juga tidak mencadangkan pemansuhan peraturan undang-undang biasa mengenai pergantungan tempat bermastautin isteri.

Beliau berkata hakim membuat keputusan yang betul dalam memutuskan bahawa mahkamah boleh mendengar kes perceraian kerana tempat kediaman Khoo berada di Malaysia.

Das juga berhujah bahawa undang-undang "coverture" (status wanita di bawah undang-undang selepas berkahwin) sebahagian besarnya telah berubah melalui Akta Perempuan Bersuami 1957 apabila seksyen 4 Akta itu mengisytiharkan bahawa wanita berkahwin sebagai "feme Sole" yang bermakna isteri mempunyai segala hak di bawah undang-undang sebagai wanita yang bebas.

Beliau berkata sebarang perubahan undang-undang keluarga hendaklah disahkan dan tidak melalui keputusan kehakiman dan menambah ia mesti dirundingi memandangkan ia melibatkan kehidupan peribadi warganegara.

Peguam juga berhujah bahawa kaedah itu tidak bersifat diskriminasi terhadap isteri menurut Perkara 8 (5) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa undang-undang peribadi seperti undang-undang keluarga dan undang-undang perkahwinan dan perceraian tidak tertakluk kepada perlindungan kesamarataan yang dijamin di bawah Artikel 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Chai tidak menikmati perlindungan diskrimatori gender di bawah Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan kerana peruntukan itu hanya terhad kepada warga Malaysia dan Chai tidak lagi seorang warga Malaysia.

Khoo, 75, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi pengecualian keperluan untuk menghadap badan pendamai sebelum perceraian mengikut Seksyen 106 Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian).

Pada 11 Disember 2013, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan Khoo tidak perlu menemui badan pendamai di London dan bahawa beliau boleh memfailkan petisyen perceraiannya di Malaysia.

Pada 22 April tahun lepas, Mahkamah Rayuan menghantar balik kes ke Mahkamah Tinggi bagi dibicarakan semula untuk menentukan bidang kuasa dan isu bermastautin selepas memutuskan bahawa terdapat banyak fakta yang dipertikaikan.

Pada 28 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar petisyen perceraian.

Sementara itu, Chai memfailkan petisyen perceraian di sebuah mahkamah di London pada Februari 2013, menuntut pampasan perceraian sebanyak 500 juta pound (RM2.75 bilion) sebagai penyelesaian.

Pasangan itu mendirikan rumahtangga pada 1970 dan mempunyai lima orang anak yang sudahh dewasa.

Chai dilaporkan akan mendapat sebahagian kecil daripada harta jika kes diputuskan mengikut undang-undang Malaysia berbanding dengan hak memperoleh separuh daripada harta Khoo jika kes perceraian didengar di Britain.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Balia Yusof Wahi, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dan Datuk Abdul Rahman Sebli menetapkan esok untuk menyampaikan keputusan.

Chai diwakili peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Artikel Berikut

Artikel Lain