suria

Krisis Pakatan: Kata Putus Majlis Syura Minggu Depan

AJK PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat kedua pada Ahad ini berhubung hala tuju parti itu.

PETALING JAYA: Majlis Syura Ulama PAS dijangka bermesyuarat minggu depan bagi membincangkan dan memutuskan pendirian parti itu berhubung krisis perpecahan pakatan pembangkang.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, minggu depan adalah 'masa yang sesuai' untuk badan tertinggi PAS itu mengadakan mesyuarat susulan perkembangan yang berlaku selepas berakhirnya Muktamar Tahunan PAS ke-61 pada 6 Jun lalu.

Tambah beliau, ia juga bersesuaian dengan tarikh mesyuarat kedua Jawatankuasa PAS Pusat yang akan diadakan pada Ahad ini - dijangka bagi membincangkan mengenai hala tuju PAS selepas berakhirnya kerjasama antara parti itu dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

"Ahad ini PAS Pusat akan bermesyuarat dahulu. Banyak isu besar yang akan dibincangkan termasuk isu berpecah.

"Jadi minggu depan saya jangka Majlis Syura Ulama juga akan adakan pertemuan. Lagi pun muktamar sudah dua minggu berakhir, ini adalah masa yang sesuai untuk duduk berbincang," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, Majlis Syura Ulama sudah menetapkan tarikh untuk diadakan mesyuarat pertama badan itu.

Bagaimanapun Nik Muhammad Zawawi yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama pada sesi lalu enggan mendedahkan tarikh sebenar mesyuarat berkenaan.

"Maaf, saya tak boleh beritahu tarikh. Tapi memang sudah ditetapkan tarikh, masa dan tempatnya," katanya.

Menurut Nik Muhammad Zawawi, mesyuarat Majlis Syura Ulama itu nanti akan memberi fokus kepada usul Dewan Ulama PAS Pusat yang diterima tanpa bahas pada Muktamar Tahunan PAS yang lalu berhubung cadangan untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

"Isu berkaitan usul ini akan menjadi agenda utama mesyuarat itu nanti. Juga kita akan bincangkan mengenai perkembangan terbaharu krisis Pakatan Rakyat apabila DAP umumkan bahawa tiada lagi pakatan," katanya.

Artikel Lain