suria

Selangor Berfungsi Sebagai 'Kerajaan Perpaduan' - Rafizi

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor yang sebelum ini ditadbir Pakatan Rakyat kini berfungsi sebagai sebuah kerajaan perpaduan, kata Setiausaha Agung PKR Mohd Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan bahawa kerajaan negeri sama ada Kelantan, Selangor atau Pulau Pinang, perlu dibentuk dengan tertakluk kepada peraturan demokrasi.

Perlembagaan negeri membenarkan mana-mana wakil rakyat yang mempunyai sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan, katanya.

Oleh yang demikian katanya, PAS dan DAP bersetuju untuk mengekalkan sokongan terhadap Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

"Jadi kerajaan negeri Selangor kini merupakan kerajaan perpaduan (Kerajaan Campuran).

"Jadi, dalam keadaan semasa di peringkat kebangsaan, tidak ada pakatan pembangkang. Tetapi di Dewan Undangan Negeri, pihak yang mendapat sokongan pihak-pihak lain untuk menerajui kerajaan perpaduan boleh teruskan, seperti apa yang berlaku di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan," katanya di bangunan Parlimen pada Khamis.

Mengulas lanjut Rafizi mengakui Pakatan Rakyat sebelum ini turut mempunyai masalah namun ia berjaya diselesaikan melalui rundingan.

Namun katanya, situasi itu berbeza dengan masalah yang membelenggu pakatan pada masa ini.

"Ketika menemui jalan buntu, cara terbaik untuk maju ke hadapan adalah untuk membubarkan kerjasama," katanya.

Rafizi Ramli, Pakatan Rakyat

Artikel Lain