suria

“Syukur Dapat Tengok Anak Kahwin Lepas Raya” – Banduan Pengampunan Sultan Perak

Pembebasan Bad Latif (belakang kiri) disambut ahli keluarganya termasuk isteri, Nashita (depan kanan) yang menunggu di Penjara Tapah pada hari pertama Ramadan.

PETALING JAYA: Seorang daripada 11 banduan yang mendapat pengampunan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bukan sahaja bersyukur kerana dibebaskan pada hari pertama Ramadan, malah tambah gembira apabila kini berpeluang menguruskan majlis perkahwinan anak sulungnya yang akan berlangsung selepas Aidilfitri.

Bad Latif Mansor, 49, mengakui pada mulanya rasa tertekan kerana pertama kali menjadi penghuni tirai besi, selain terpaksa berjauhan daripada keluarga.

Bapa kepada empat anak ini juga terkilan apabila setiap kali memikirkan dia perlu menjalani ibadah puasa dan meraikan Aidilfitri hanya bertemankan rakan banduan lain.

“Bila terkenangkan Ramadan dan Syawal, saya terus rasa sayu, tetapi syukur Alhamdulillah dapat pengampunan Sultan Perak.

"Walaupun baru sahaja dibebaskan hari ini, dah ada banyak perancangan yang akan dilakukan melibatkan hal keluarga.

“Selain berpeluang berpuasa dan beraya bersama keluarga, saya juga dapat lihat anak sulung kahwin lepas hari raya nanti,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada malam Khamis.

Bad Latif adalah salah seorang daripada 11 banduan yang dihukum penjara sejak 18 Mac lalu, diberikan pengampunan oleh Sultan Nazrin Shah bersempena hari pertama Ramadan pada Khamis.

Kesemua 11 banduan itu menjalani hukuman penjara di Penjara Tapah atas kesalahan membabitkan diri dalam perhimpunan haram di hadapan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar, ketika membantah pelantikan Menteri Besar yang baharu pada 2009.

Bad Latif yang dibebaskan pada malam Khamis berkata, anak lelaki sulungnya Anas, 22, bakal berkahwin pada 30 Ogos depan dan tarikh perkahwinan itu sebenarnya telah dipersetujui keluarga kedua belah pihak sebelum dia dipenjara.

“Tarikh perkahwinan sudah pun ditetapkan lebih awal lagi. Tetapi bila saya dihukum penjara, saya berpesan kepada isteri supaya teruskan majlis perkahwinan walaupun tanpa saya. Nak kata sedih, memanglah sedih sebab tak dapat lihat anak kahwin.

“Tapi sekarang saya cukup bersyukur dan terharu dengan peluang yang diberikan Sultan Perak kerana ‘menghadiahkan’ pembebasan ini untuk bersama keluarga malah dapat membantu persiapan untuk perkahwinan anak nanti,” katanya dengan nada gembira.

Ditanya mengenai pengalamannya di penjara sejak Mac lalu, lelaki berusia 49 tahun itu berkata, hukuman itu mengajarnya mengenali tentang diri sendiri serta hubungan kemanusiaan.

“Saya banyak bermuhasabah diri dan mempertingkatkan amalan agama. Saya juga banyak berinteraksi dengan banduan-banduan lain yang membuatkan saya belajar tentang kemanusiaan,” katanya.

Sementara itu, isteri Bad Latif, Nashita Md Noor, 49, ketika dihubungi berkali-kali mengucapkan syukur di atas berita gembira pada hari pertama Ramadan.

“Pengampunan untuk pembebasan suami sememangnya berita gembira buat saya dan Alhamdulillah ia berlaku pada hari pertama Ramadan, saya melihatnya sebagai satu bonus,” katanya.

Mengenai perkahwinan anak sulung, Nashita memberitahu, dia tidak membuat persiapan rapi memandangkan suaminya berada di penjara sebelum ini.

“Tetapi saya yakin dia akan dapat pengampunan dan berharap dapat dibebaskan lebih awal. Alhamdulillah, suami sudah bebas. Saya berharap perkahwinan anak saya berjalan lancar, InsyaAllah,” katanya.   

Artikel Lain