Purata Pendapatan Isi Rumah B40 Digandakan Lebih RM5,000 - Semasa | mStar

Purata Pendapatan Isi Rumah B40 Digandakan Lebih RM5,000

KUALA LUMPUR: Purata pendapatan isi rumah kumpulan berpendapatan rendah B40 akan digandakan kepada RM5,270 menjelang 2020 dan seterusnya menganjakkan sebahagian mereka kepada kumpulan pertengahan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Isi rumah B40 merujuk kepada isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah daripada taburan pendapatan dengan purata pendapatan RM2,537 pada 2014.

Pelan lima tahun bermula 2016 itu turut menyasarkan isi rumah berpendidikan tinggi meningkat daripada sembilan peratus (2014) kepada 20 peratus (2020).

Pelan bertemakan 'Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat' itu di bentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada Khamis.

Fokus meningkatkan taraf isi rumah B40 ke arah masyarakat kelas menengah dilaksanakan menerusi tiga langkah antaranya meningkatkan pendapatan dan kekayaan golongan itu serta meningkatkan pencapaian pendidikan pasca menengah.

Memandangkan sebahagian kumpulan B40 di bandar merupakan golongan pekerja, majikan akan diberi dorongan bagi menggalakkan pekerja meneruskan pendidikan ke tahap lebih tinggi dan meningkatkan taraf kemahiran selain menyediakan insentif pinjaman mudah.

Turut ditumpukan ialah mengurangkan kadar keciciran, memastikan akses pendidikan tinggi dan latihan kemahiran, meningkatkan sokongan keusahawanan secara bersepadu dan menggalakkan pelaburan di kawasan majoriti isi rumah B40.

Dalam menangani kos sara hidup yang meningkat, usaha akan dibuat untuk mengukuhkan pemantauan dan penguatkuasaan peraturan berkaitan kawalan harga untuk mengekang kenaikan harga tidak munasabah.

Dalam RMK11, program 1Harga 1Malaysia juga diteruskan bertujuan menyeragamkan harga barangan bersubsidi antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak manakala Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Kedai Coop1Malaysia diperluas ke seluruh negara.

Perkembangan itu dilihat dapat mempertingkatkan akses secara lebih menyeluruh kepada barangan harga patut, seterusnya mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

Penyediaan rumah mampu milik juga terus dipertingkatkan kepada isi rumah B40, pinjaman pada kadar faedah istimewa dengan tempoh moratorium untuk menjual hartanah selama 10 tahun juga ditawarkan selain bantuan sewa rumah kepada isi rumah yang layak.

Di samping itu, pengukuhan sistem penyampaian program B40 dengan menyelaras sokongan kepada isi rumah yang terbabit dan antara pendekatan akan diambil ialah memperkasakan Jawatankuasa Kumpulan Fokus di peringkat daerah untuk memastikan pembangunan program konsisten serta memenuhi keperluan.

Selain itu Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) akan diperkenalkan bagi mengukur akses kepada kemudahan dan perkhidmatan asas yang membantu mobiliti sosial bagi membolehkan analisis berasaskan intensiti mengenal pasti keperluan golongan tersebut dengan lebih jelas.

Pelan itu menekankan adalah penting untuk meningkatkan taraf isi rumah B40 kerana dalam keadaan negara terus membangun golongan itu tidak wajar dipinggirkan.

Sekiranya golongan itu terus berada dalam kedudukan sosioekonomi semasa, akan mengakibatkan kos sosial kepada negara melalui pengurangan bilangan tenaga berkemahiran yang diperlukan selain memberi kesan kepada pertumbuhan output negara.

pendapatan , isi rumah , RMK11

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

Artikel Lain

Vardy catat rekod gol luar biasa EPL