suria

Malaysia Sasar Kedudukan 10 Teratas Dalam Indeks Pencapaian Logistik Bank Dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai aspirasi yang tinggi untuk menjadi pintu gerbang utama logistik ke Asia, dan seterusnya membaiki kedudukan dalam Indeks Pencapaian Logistik Bank Dunia daripada tangga ke-25 pada tahun 2014 ke tangga 10 teratas menjelang 2020.

Malaysia turut menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan tahunan 8.5 peratus bagi subsektor pengangkutan dan penyimpanan, mewujudkan 146,000 pekerjaan baharu yang sebahagian besarnya berkemahiran tinggi, kata Unit Perancang Ekonomi (UPE) Jabatan Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Dokumen pelan RMK11 yang merupakan hala tuju negara untuk lima tahun akan datang di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurut dokumen itu sasaran terbabit akan dicapai melalui strategi memperkukuh rangka kerja institusi dan kawal selia melalui Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) dan pengawalseliaan fungsi lain seperti depoh luar pelabuhan, aktiviti pergudangan dan pendaftaran kenderaan perdagangan.

Strategi lain ialah menambah baik mekanisme fasilitasi perdagangan, membangunkan kecekapan dan kapasiti infrastruktur fret, mengguna pakai teknologi dalam rantaian logistik dan memperkukuh keupayaan penyedia perkhidmatan logistik melalui program latihan dan akreditasi.

Katanya penjanaan pertumbuhan logistik dan peningkatan fasilitasi perdagangan merupakan antara inisiatif utama memperkukuh infrastruktur untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

Sistem logistik dan fasilitasi perdagangan yang cekap dan berprestasi tinggi adalah faktor penentu daya saing negara selain sumber pekerjaan utama.

Malaysia akan menaik taraf infrastruktur bagi fret dan logistik serta meningkatkan kapasiti pengendalian kontena untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan yang strategik di rantau ini. 

Fasilitasi perdagangan akan dipermudah melalui prosedur yang lebih ringkas, tanpa kertas dan mesra perniagaan, menurut laporan itu.

RMK11, logistik

Artikel Lain