SEORANG pengguna jalan raya berdepan detik cemas apabila cubaannya untuk memotong sebuah trak pikap hampir membuatkan nyawanya melayang.Ia berikutan, pemandu trak pikap berkenaan didakwa mengacukan pistol ke luar tingkap ke arah keretanya. Insiden yang berlaku di Chiang Mai, Thailand pada pagi Isnin itu nyata mencetuskan keresahan ramai sehingga pihak polis menerima aduan dari kawasan bawah pentadbiran empat balai berbeza.Menurut seorang saksi, kejadian berlaku ketika dia sedang memandu berhampiran Hospital Lanna menuju persimpangan Poi Luang.Katanya, ketika cuba memotong trak pikap berwarna hitam berkenaan, pemandunya tiba-tiba mengacukan senjata api ke luar tingkap.Aksi ganas terbabit berjaya dirakam menerusi kamera pemuka (dashcam) kenderaannya sebelum video berkenaan dimuat naik dan tular dalam talian.Susulan itu, suspek akhirnya ditahan di pasar pertanian Lanna dan dibawa ke Balai Polis Saraphi untuk disoal siasat.Polis turut merampas senjata berkenaan untuk pemeriksaan lanjut, sementara motif tindakan lelaki itu masih dalam siasatan. -Agensi