HANYA kerana pertengkaran dipercayai berpunca daripada berebut tempat parkir, dua lelaki bertindak berbalas tembakan sehingga meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.Kejadian menyayat hati itu berlaku di Leon Day Park, Baltimore, Amerika Syarikat kira-kira pukul 6.15 petang pada 3 Oktober lalu, ketika satu perlawanan bola sepak remaja sedang berlangsung meriah. Berdasarkan laporan media tempatan, pihak polis yang berkejar ke lokasi kejadian menemukan kanak-kanak terbabit bersama seorang wanita dalam keadaan terbaring akibat kecederaan parah terkena tembakan.Mangsa dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia.Pesuruhjaya Polis Baltimore, Richard Worley berkata, dua lelaki yang terbabit dalam kejadian itu turut mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.Wanita dan kedua-dua lelaki berkenaan mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa.Menurut Worley, siasatan awal mendapati dua lelaki itu bertengkar, dipercayai mengenai tempat parkir, sebelum melepaskan tembakan ke arah satu sama lain.Kanak-kanak perempuan dan wanita tersebut kemudian terkena tembakan dalam kejadian berkenaan.Worley berkata, mangsa yang maut berkemungkinan berada di taman untuk menonton perlawanan bola sepak.Polis masih menyiasat kejadian dan meminta saksi tampil memberikan maklumat. -Agensi