suria

4 anak masuk sekolah, penyewa cuma mampu bayar RM300... ‘Owner‘ terus halal sewa rumah RM1,550 - “Kita mudahkan urusannya”

Golongan ibu bapa berdepan cabaran besar dalam menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak. -Gambar hiasan AI

MENJELANG sesi persekolahan yang bakal dibuka tidak lama lagi, golongan ibu bapa pastinya berdepan cabaran besar dalam menguruskan kewangan, khususnya bagi menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak.

Situasi yang sama turut dikongsikan oleh seorang individu selepas menerima mesej daripada penyewanya yang memohon kelonggaran bayaran sewa rumah.

Menurut individu yang merupakan pemilik rumah itu, penyewa tersebut memaklumkan bahawa dia dan suami hanya mampu membayar sebahagian kecil sewa pada bulan ini berikutan kekangan kewangan.

Perbelanjaan sekolah anak-anak sering menjadi beban kewangan yang besar kepada ibu bapa, terutamanya menjelang awal sesi persekolahan. -Gambar hiasan

"Assalamualaikum cik, boleh tak hari ini kami bayar sewa rumah RM300 dulu? Lagi RM1,250 kami bayar secara ansuran sekali dengan sewa bulanan akan datang.

"Sebab bulan lepas saya dan suami gaji sales tak banyak. Bulan ini duit banyak nak kena dahulukan empat orang anak start sekolah. Harap cik pertimbangkan," tulis penyewa itu dalam kiriman mesejnya.

Perkongsian itu menyentuh hati individu berkenaan yang kemudian mengambil keputusan untuk tidak mengambil bayaran sewa pada bulan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sebak lihat ibu batal beli buku sekolah anak sebab tak cukup duit, suami isteri sanggup bantu bayar lebih RM500

ARTIKEL BERKAITAN: "Patutnya percuma saja" - Wanita 'berhujah' minta kerajaan taja buku semua murid... Simpati nasib B40, ibu bapa ramai anak

"Tak apa, sewa bulan ini saya tak ambil. Selesaikan apa yang patut untuk anak-anak dulu.

"Anggap saja sewa bulan ini saya sedekahkan untuk keperluan sekolah anak-anak," balasnya kembali.

Menurut individu itu lagi, penyewa berkenaan telah menyewa rumahnya selama hampir tiga tahun dan tidak pernah menimbulkan sebarang masalah sebelum ini.

"Baru kali ni dia minta macam ni. Kita permudahkan urusannya. Semoga doa beliau diangkat ke atas," tulisnya dalam perkongsian tersebut.

  • Seorang individu berkongsi kisah penyewanya yang menghadapi masalah kewangan menjelang sesi persekolahan.

  • Penyewa hanya mampu membayar sebahagian kecil sewa kerana perlu mendahulukan keperluan anak-anak sekolah.

  • Individu tersebut tersentuh dan memutuskan untuk tidak mengambil sewa rumah bagi bulan itu.

  • Penyewa telah menyewa hampir tiga tahun dan tidak pernah menimbulkan masalah sebelum ini.

  • Tindakan individu itu dipuji netizen dan didoakan agar rezekinya terus diluaskan.

Dalam masa sama, individu itu turut menitipkan doa dan kata-kata semangat kepada semua ibu bapa yang sedang berjuang menyediakan keperluan anak-anak menjelang sesi persekolahan.

"Kepada ibu bapa di luar sana, saya doakan anda semua terus kuat dan tabah… dipermudahkan segalanya," katanya.

Dalam perkongsiannya, individu tersebut turut memuat naik imej tangkap layar (screenshot) mesej menerusi aplikasi WhatsApp antara dirinya dengan penyewa tersebut.

 Tangkap layar (screenshot) mesej menerusi aplikasi WhatsApp antara individu tersebut dengan penyewanya.

Di ruangan komen, rata-rata warga maya memuji sikap prihatin dan keikhlasan individu berkenaan yang disifatkan sebagai contoh terbaik sikap tolak ansur antara tuan rumah dan penyewa.

Malah, tidak kurang juga yang mendoakan agar rezekinya terus diluaskan kerana membantu meringankan beban keluarga lain.

"Allahuakbar. Semoga Allah berikan awak kesenangan, kekayaan, nikmat rezeki yang melimpah ruah, sentiasa lampu hijau dan sentiasa bahagia. Tahniah orang baik

"Sedih saya baca. Semoga doa-doa awak pun Allah kabulkan. Insya-Allah banyak pahala bersedekah," demikian antara komen netizen.

Artikel Lain