suria

Percutian satukan keluarga, Abby Abadi ucap terima kasih pada Norman Hakim kerana belanja tiket anak-anak ke Jepun

Norman (dua dari kanan) membawa keluarga bercuti ke Jepun.

PELAKON Abby Abadi menitipkan ucapan selamat hari lahir yang ke-50 kepada bekas suaminya, Norman Hakim selain menzahirkan rasa terima kasih atas kesudian aktor berkenaan menaja tiket percutian anak-anak ke Sapporo, Jepun. 

Abby atau Arbaiyah Abdul Manan, 49, mendoakan agar Norman terus diberikan kekuatan dan rezeki yang melimpah untuk membahagiakan anak-anak mereka.

"Selamat hari lahir Oman (panggilan Norman). Terima kasih belanja tiket untuk anak-anak besar (anak bersama Abby) kali ini. Besar tanggungjawab, besar belanja bila anak-anak ramai ni ya. 

Abby dan Norman sekeluarga bercuti ke Sapporo, Jepun.

"Terus kuat! Terus semangat demi nak bercuti selalu. Banyak duit, selalu kongsi dengan anak-anak besar ini okay. Semoga dapat berkumpul selalu bukan hanya di dunia tapi di syurga sana," katanya. 

Abby berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads miliknya pada Jumaat. 

Dalam hantaran dibuat, Abby turut memuat naik semula sebuah video daripada akaun TikTok miliknya yang memperlihatkan mereka sekeluarga sedang menikmati keseronokan bermain salji sepanjang percutian tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada niat buka aib bekas suami, Abby Abadi hanya kongsi tanggungjawab bayar hutang

ARTIKEL BERKAITAN: 22 tahun sabar menanti, Abby Abadi akhirnya terima mas kahwin tertangguh daripada Norman Hakim

Selain itu, Abby turut meluahkan rasa syukur selepas diberikan peluang untuk terus membesarkan dan meraikan anak-anak meskipun hubungan mereka sebagai suami isteri telah lama berakhir.

Menurut Abby, hubungan baik yang terjalin diharapkan dapat diteruskan, bukan sahaja demi kebahagiaan di dunia, malah hingga ke akhirat.

"Syukur Allah panjangkan umur kita sebab banyak lagi tanggungjawab yang tak selesai dan takkan pernah selesai. Terima kasih untuk banyak sebab, masih sudi bersama saya meraikan anak-anak. 

"Besar tanggungjawab kita ini sebagai ibu bapa bila Allah kurniakan anak yang ramai. Kena jaga didik mereka sebaiknya. 

"Saya nak kita bersama, dapat berkumpul selalu bukan hanya di dunia tetapi di akhirat nanti," ujarnya. 

Norman (kanan) menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-50.

Untuk rekod, Abby dan Norman mendirikan rumah tangga pada 2002 sebelum bercerai pada 2009.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 23, Marissa Dania Hakim, 21, dan Danisha Hakim, 18 tahun. 

Abby kemudian berkahwin dengan Faizal, manakala Norman mendirikan rumah tangga bersama pelakon Memey pada 2011.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain