suria

Pemandu Bas: ‘Kami Tidak Lagi Kerja Biasa-Biasa’ - Banduan

PETALING JAYA: "Kami tidak lagi kerja biasa-biasa kerana selepas ini kami turut mampu mempunyai kerjaya seperti orang lain,” kata sekumpulan banduan yang menyertai Program Kerjaya Pemanduan Kenderaan Perdagangan.

Program yang diadakan menerusi kerjasama Jabatan Penjara, Metro Driving Academy dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) itu bertujuan untuk menjadikan banduan sebagai pemandu bas yang profesional apabila mereka dibebaskan daripada menjalani hukuman penjara.

Arumugan (bukan nama sebenar), 38, yang dipenjara selama empat tahun kerana menyamar pegawai penguat kuasa berkata, segelintir masyarakat mungkin beranggapan bahawa pemandu bas sebagai antara pekerjaan yang paling layak untuk bekas banduan.

Bagaimanapun katanya, pekerjaan itu kini akan diangkat ke tahap lebih tinggi apabila ia dilakukan secara profesional dengan kemahiran yang terlatih.

“Pekerjaan lain juga memerlukan kemahiran dan pengalaman untuk menjadikannya sebagai kerjaya profesional. Begitu juga dalam bidang pemanduan,” katanya yang berasal dari Klang ketika ditemui di Penjara Kajang, baru-baru ini.

Bo Chai (bukan nama sebenar), 33, dari Petaling Jaya menyifatkan program ini sebagai peluang untuk golongan banduan membuat rancangan dalam hidup mereka apabila dibebaskan kelak.

“Kalau kami sudah dilatih lebih awal, ada pengalaman dengan sijil kemahiran dari dalam penjara lagi, peluang itu akan menjadi lebih mudah.

“Dalam tempoh latihan ini juga akan memupuk minat kami untuk melakukan kerja itu dengan lebih baik dan yakin apabila berada di dunia luar nanti,” katanya yang dipenjarakan selama empat tahun atas kesalahan samun.

banduan
Banduan-banduan bersiap sedia untuk latihan amali yang dikendalikan oleh pelatih dari Metro Driving Academy dan dipantau oleh pegawai penjara.

Bagi Chai, 38, yang dipenjarakan selama enam bulan kerana mencuri menyifatkan latihan berkenaan dilihat  sebagai proses mempelajari sesuatu yang baharu.

Chai yang berasal dari Ampang berkata, dia tidak mempunyai pengalaman bekerja sebagai pemandu tetapi kini sudah yakin memikul tanggungjawab untuk memberikan khidmat kepada masyarakat pada masa akan datang.

“Program kerjaya ini bukan sekadar melatih kami untuk menjadi pemandu malah membimbing kami untuk melakukannya secara profesional.

“Kerja pemandu ini adalah permulaan buat kami dalam usaha untuk meneruskan prospek kerjaya dalam bidang pengangkutan,” kata Chai.

Sementara itu, Khairil (bukan nama sebenar), 38, pula berkata, program ini merupakan langkah yang baik untuk membuktikan bahawa banduan juga boleh menjadi penyumbang kepada negara.

Katanya, bermula daripada pekerjaan sebagai pemandu bas yang memberi khidmat kepada orang awam, sehingga dapat menduduki jawatan yang boleh membantu melancarkan sistem pengangkutan di negara ini.

“Banduan bukan sahaja diminta agar diterima dalam masyarakat apabila mereka dibebaskan kelak tetapi juga mahu memperlihatkan sumbangan dan tanggungjawab yang mampu dilakukan mereka untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. 

“Kami (banduan) juga sebahagian daripada masyarakat. Bila dah jadi bekas banduan, juga masih dalam masyarakat. Dalam masyarakat perlu mempunyai tanggungjawab antara satu sama lain.

“Dan ini yang kami cuba lakukan untuk diri sendiri dan masyarakat serta negara. Semuanya kami akan usahakan dari kerja sebagai pemandu bas yang profesional,” kata Khairil yang dipenjara hampir enam tahun dan akan dibebaskan awal tahun depan.

 

Artikel Lain