suria

[V] Tiga beranak jalan kaki dekat kebun sawit, wanita hiba tengok si ayah kendong anak tengah panas... Tindakan kongsi video ubah nasib sekeluarga

Tangkap layar video yang memaparkan sebuah keluarga berjalan dalam cuaca panas terik.

RAKAMAN video memaparkan sepasang suami isteri berjalan kaki di bawah cuaca panas terik bersama anak mereka menarik perhatian ramai selepas dikongsikan seorang wanita di media sosial.

Menerusi perkongsian tersebut, Eliyana Said menceritakan situasi yang dilihatnya ketika keluar makan tengah hari beberapa bulan lalu, sebelum Ramadan.

Ketika melalui simpang menuju ke kawasan ladang sawit berhampiran Kampus Satelit CIAST-ADTEC Jerantut, Pahang, dia melihat pasangan suami isteri itu berjalan kaki sambil salah seorang mendukung anak mereka di belakang badan.

"Masuk kereta semula lepas ambil kad matrik pelajar dekat pengawal keselamatan, saya nampak keluarga ini dah berjalan ke depan. Dalam hati terfikir ni mesti motor rosak sebab sebelum masuk simpang tu, ada motor parkir tepi jalan.

"Bayangkan bawa anak kecil lepas tu ayah dia bawa ais tapi sudah separuh cair. Nak bagi tumpang masuk ladang sawit tapi saya takut sebab jalan pun tak comey (tidak berturap).

"Apa-apa pun, semoga adik tu berjaya dunia akhirat. Sudah besar nanti, sekolah pandai-pandai dan kerja baik-baik. Berbaktilah pada orang tuamu," tulis Eliyana pada video dimuat naik di TikTok [Tonton Video].

Hantaran yang tular tersebut kemudiannya meraih perhatian ramai sehingga keluarga yang dirakam berjaya dikesan dan menerima bantuan daripada orang ramai.

Perkara itu dijelaskan wanita yang dirakam dalam video tersebut, menceritakan situasi sebenar yang berlaku pada hari kejadian dalam hantaran kedua dibuat Eliyana.

"Masa tu saya balik dari tempat kerja, tiba-tiba motor rosak tengah jalan. Anak saya pula sekolah dan tak ada jalan lain. Terpaksa kami berjalan kaki ambil dia.

"Saya duduk dalam kebun tu. Jauh sikit la dari ADTEC. Jalan masuk kebun pun tak okay. Batu banyak. Biasa la jalan kebun. Tak sangka pula tengok video tu. 

"Terima kasih banyak-banyak dik kerana kamu ramai orang bantu akak. Semoga sihat selalu. Jadi anak solehah yang taat kepada orang tua mereka. Allah balas semua jasa kamu nanti," katanya.

Namun, dalam hantaran tersebut wanita berkenaan tidak menjelaskan jenis bantuan yang diterima.

Artikel Lain