suria

Memupuk Perpaduan Nasional

DALAM lawatan Presiden Barrack Obama baru-baru ini, beliau ada mengulas tentang peri pentingnya hak golongan minoriti dipertahankan. Ini tidak mengejutkan.  Isu ini memang hangat dibicarakan dalam negara kita sejak kebelakangan ini.

Umum mengetahui bahawa majoriti penduduk negara kita adalah beragama Islam dan berketurunan Melayu tetapi tidak ada data yang tuntas mengenai berapa ramai sebenarnya yang mengamalkan Islam sebagai cara hidup dan berapa ramai yang betul-betul mengamalkan budaya dan adab Melayu.

Dalam satu kajian oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaaan Malaysia yang diterbitkan dalam International Journal of Social Science and Humanity (Vol. 2, No. 3, May 2012), mereka mengatakan bahawa adab Melayu itu termasuklah sikap mengelak konfrontasi, lemah lembut, tidak terlalu berterang-terangan dalam berkomunikasi, merendah diri dan toleransi.

Jika benarlah kajian ini, maka rasanya bilangan orang Melayu di Malaysia sebenarnya agak rendah.

Sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian adat dan agama, memang wujud risiko jika hubungan antara kaum tidak dijaga dengan baik.  Walaupun sebab sebenar rusuhan 13 Mei 1969 masih lagi diperdebatkan dikalangan cendekiawan, peristiwa berdarah tersebut masih menghantui kita hingga ke hari ini.

Kerajaan patut dipuji kerana menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN). Semasa makan malam bersama Tan Sri Joseph Kurup pada awal bulan April, saya mengatakan kepada beliau bahawa beliau terlalu merendah diri mengenai kejayaan menubuhkan MKPN.

Penubuhan MKPN merupakan satu titik yang signifikan dalam sejarah negara. Hasil kerja MKPN akan memberi impak besar dalam mencorakkan masa depan tanah air kita.

Dalam menjalankan tanggungjawabnya, MKPN dan kerajaan perlu memberi perhatian kepada satu kajian global yang dijalankan oleh para pengkaji di Berkley Centre for Religion, Peace and World Affairs, Universiti Georgetown, Washington DC.

Kami di IDEAS menjadi tuan rumah kepada Dr Timothy Shah dari pusat berkenaan pada 7-9 April lepas dan kami membawa beliau bertemu dengan pelbagai pihak yang bekerja dalam bidang perpaduan nasional.

Menggunakan data yang dikumpulkan oleh pusat pengkaji terkemuka Pew Research Centre, Dr Shah mendapati bahawa sejak tahun 2007 di seluruh dunia terdapat peningkatan dalam kekangan yang dikenakan oleh kerajaan terhadap kebebasan sivil dan kebebasan beragama.

Biasanya, kekangan itu diperkenalkan dengan niat baik, iaitu untuk menghalang konflik daripada berlaku.

Situasi ini ada iras-iras apa yang berlaku di Malaysia.  Malahan, dalam konteks kekangan terhadap agama, sebenarnya tahap kekangan di Malaysia adalah tinggi.

Pada tahun 2012, kita diletakkan sama kumpulan dengan Rusia, China, Myanmar, Somalia dan Eritrea.  Tetapi saya yakin kekangan ini kebanyakannya diperkenalkan dengan niat baik untuk menghalang berlakunya konflik.

Dr Shah menerangkan lagi bahawa, ironisnya, walaupun pelbagai peraturan dan kekangan diperkenalkan oleh pelbagai negara, tahap keharmonian dan toleransi tidak pula bertambah baik.  Malahan, rasa tidak puas hati dan permusuhan dalam masyarakat pula yang menjadi lebih buruk.

Data daripada kajian global itu menunjukkan bahawa apabila kerajaan memberikan layanan istimewa kepada mana-mana satu agama, maka tahap permusuhan dalam masyarakat adalah tiga kali lebih tinggi berbanding kerajaan yang neutral.

Data juga menunjukkan bahawa apabila kerajaan mengancam kumpulan agama tertentu, tahap permusuhan adalah lima kali lebh tinggi berbanding jika kerajaan melayan semua rakyat secara adil dan sekata.

Sekali lagi, suasana ini ada iras-iras apa yang kita saksikan di Malaysia sekarang.  Penubuhan MKPN itu sendiri menunjukkan bahawa kerajaan sedar dan bimbang mengenai tahap perpaduan dan polarisasi kaum.  Malahan, jika dilihat dalam media arus perdana dan media sosial, rasanya tidak sukar untuk kita menyedari betapa ada masalah yang perlu kita tangani.

Data yang dibentangkan oleh Dr Shah juga menunjukkan bahawa keharmonian dan perpaduan nasional bukan lahir daripada peraturan atau kawalan undang-undang. Sebaliknya yang mewujudkan kehamonian sosial ialah keterbukaan.  Beliau mengatakan adalah salah jika kita menganggap bahawa kita memerlukan pelbagai sekatan jika kita mahukan perpaduan.

Sebaliknya, apa yang akan melahirkan perpaduan ialah keterbukaan dan deregulasasi dalam hak beragama, terutama dalam sebuah masyarakat yang majmuk.

Keterbukaan inilah yang akan melahirkan keharmonian, kestabilan politik dan kemajuan ekonomi.

Perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh MKPN dan lain-lain pihak yang mahukan perpaduan di Malaysia. Saya agak bimbang apabila ada ura-ura memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional.

Secara idealnya kita tidak perlukan undang-undang baru.  Tetapi jika para pembuat dasar mahu menutup telinga terhadap data dan hasil kajian – seperti yang biasa mereka lakukan - maka komprominya ialah dengan mengambil sikap berhati-hati dalam menyediakan kandungan akta tersebut.

Jangan jadikan ia satu undang-undang yang menyekat kebebasan individu.Bagaimanapun, semua itu hanya akan menyelesaikan sebahagian daripada masalah sahaja.

Ada bahagian lain yang mungkin lebih besar yang sebenarnya disebabkan oleh struktur politik kepartian dalam negara kita.  Sistem kepartian di Malaysia hari ini memaksa kita mengambil sikap yang berteraskan kaum atau agama apabila berfikir dan mengundi.

Dalam kata mudah, jika kita mengekalkan sistem politik berteraskan bangsa dan agama, maka usaha menyatukan rakyat adalah usaha yang merbahaya untuk golongan ahli politik sedia ada. Jika kita benar-benar bersatu dan tidak lagi berfikir dalam aliran kaum, maka parti-parti politik berteraskan kaum dan pemimpinnya akan menjadi tidak relevan.

Maka penyatuan yang tulin merupakan satu risiko besar bagi ahli politik yang memegang kuasa atas dasar kaum atau agama.


>Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (www.IDEAS.org.my).  Beliau aktif di Twitter menggunakan @wansaiful.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Measat-3b Dilancar 28 Mei

Artikel Lain