suria

MAS Tawar 30 Peratus Diskaun Kepada Pelawat India

NEW DELHI: Malaysia Airlines (MAS) kini menawarkan diskaun 30 peratus kepada pelawat India ke 25 destinasi di seluruh dunia menerusi kempen Pameran Perjalanan Malaysia Airlines (MATF) bermula pada Selasa.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, syarikat penerbangan itu berkata kempen sehingga 28 Feb, 2014, itu sah untuk tempoh perjalanan dari 19 Feb hingga 30 Sept 2014.

Ia berkata pelawat dari India boleh menempah perjalanan dari Delhi, Mumbai, Hyderabad, Bangalore, Chennai dan Kochi ke pelbagai destinasi serantau MAS termasuk laluan terkininya, Krabi, di Thailand.

Naib Presiden Kanan Serantau Asia Selatan dan Timur Tengah MAS, Azahar Hamid, berkata MATF sentiasa popular dengan pengguna syarikat penerbangan itu.

"Kami menjadikan perjalanan lebih mampu ditanggung pada kadar tambang rendah dan inilah masa yang terbaik untuk terbang bersama Malaysia Airlines.

"Kami menjangkakan akan mendapat sambutan yang baik menerusi tawaran hebat ini, sekali gus menggalakkan pelanggan untuk merebut peluang yang menawarkan nilai untuk wang," katanya.

Pelanggan boleh membeli tiket penerbangan pergi balik dari Mumbai ke Kuala Lumpur daripada 19,965 rupee India (kira-kira RM1,064).

Penerbangan ke Bangkok, Phuket dan Krabi dari Kochi berharga mulai 15,287 rupee (RM814) manakala Hyderabad ke Hong Kong daripada 21,180 rupee (RM1,128) pergi balik.

Penumpang dari Delhi ke Bangkok boleh menikmati tambang pergi balik daripada 20,247 rupee (RM1079) dan 17,665 rupee (RM941) untuk perjalanan dari Bangalore ke Krabi.

Tawaran menarik lain termasuk perjalanan dari Chennai ke Singapura daripada 18,705 rupee (RM996) dan 17,709 rupee (RM943) dari Mumbai ke Phuket, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain